fbpx
MOHAMAD FAISAL (depan) bersama bapa, Abas (kanan) dan adik-beradiknya terus gigih memperjuangkan seni muzik cempuling.

Cempuling terus bertahan walau diasak arus pemodenan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA masa ini, kebanyakan anak muda sudah tidak mengenali sebahagian seni budaya masyarakat dahulu kala yang mungkin ditelan zaman jika tidak dipertahankan generasi terkini.

Dalam hal ini, seorang anak muda dari Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor, Mohamad Faisal Abas, 27, mempertahankan seni yang diberi nama cempuling terus bertahan dan tidak ditelan arus media sosial.

Cempuling yang merupakan seni muzik tradisional masyarakat Jawa selalunya dimainkan pada majlis keramaian seperti kenduri kahwin dan sebagainya.

Cempuling yang terdiri daripada enam peralatan iaitu gendang, enteng-enteng, kempreng, kempol, gong dan kompang.
————————————————————————————————————
SENI muzik warisan Jawa berasaskan enam jenis instrumen ini terus dipertahankan masyarakat di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor sehingga menjadi salah satu daripada elemen tarikan di kampung tersebut.

CEMPULING. Seni muzik tradisional masyarakat Jawa ini lazim dimainkan sewaktu majlis kebesaran masyarakat Jawa, keramaian dan kenduri perkahwinan.

Begitupun, bukan semua masyarakat Jawa terutama generasi muda tahu akan cempuling.

Namun, bagi masyarakat Jawa di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor, cempuling ini sememangnya masih dikenali apabila terdapat kira-kira lima pasukan permainan muzik ini di kampung itu.

Cempuling dimainkan secara berkumpulan melibatkan enam hingga 12 orang ahli muzik termasuk penyanyi atau tukang karut.

Enggan seni warisan ini pupus ditelan zaman, anak muda, Mohamad Faisal Abas, 27, bersama enam adik-beradiknya terus memastikan muzik tradisional itu bertahan ketika era digitalisasi ini.

Menurut Mohamad Faisal, mereka berlatih memainkan cempuling yang terdiri daripada enam peralatan iaitu gendang, enteng-enteng, kempreng, kempol, gong dan kompang itu pada setiap Jumaat di sebelah malam.

Bagaimanapun, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, sesi latihan yang biasanya turut dihadiri sanak saudara terpaksa dihentikan dan hanya dilakukan bersama bapanya, Abas Shuhadi dan adik-beradiknya di rumah.

CEMPULING bukanlah permainan muzik semata-mata tetapi pengerat hubungan silaturahim antara ahli keluarga serta sanak saudara.

“Cempuling ini bukan berkenaan seni muzik semata-mata tetapi lebih kepada satu seni warisan yang boleh merapatkan hubungan silaturahim antara sanak saudara.

“Biasanya mereka yang terlibat dalam permainan muzik ini merupakan saudara-mara dan melibatkan ramai pemain terutama jika dipanggil bagi persembahan besar.
Selain memainkan peralatan muzik, ia juga mempunyai tukang karut terdiri daripada dua orang yang menyanyikan lagu dalam bahasa Jawa dan bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui K2.

Ujarnya, mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu tidak menjadi masalah buat tukang karut sebaliknya nyanyian dalam bahasa ‘Jawa halus’ memerlukan tukang karut mahir sahaja kerana jika salah sebutan jadi lain maksudnya.

“Pada zaman dahulu, alat muzik cempuling ini dikatakan digunakan oleh Wali Songo untuk mengislamkan orang dan lirik-lirik yang digunakan oleh tukang karut lebih kepada berbentuk pesanan-pesanan,” terangnya.

Sementara itu, Abas, 58, yang merupakan generasi pertama pemain muzik cempuling di kampung itu berkata, dia bermain cempuling sejak usianya 24 tahun.

“Kini, kami bergerak menggunakan nama Kumpulan Seni Cempuling Warisan Era Baru dengan saya bertindak selaku pengerusi, tukang karut dan pemain alat muzik itu sendiri.

“Kami banyak dipanggil untuk membuat persembahan di bawah Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan pernah mencipta rekod bermain cempuling selama 25 jam tanpa henti yang turut tercatat dalam The Malaysia Book of Records,” ujarnya.

Jelasnya, cempuling merupakan himpunan alatan muzik yang melibatkan perbuatan ‘pukulan’ bagi menghasilkan pelbagai rentak dan irama.

Cempuling merupakan gabungan tiga suku kata iaitu com-com bermaksud macam- macam, pul-pul (kumpulan-kumpulan) dan eling-eling (beringat-ingat) dalam bahasa Jawa halus.

Tambahnya, apabila disatukan, maka terhasil perkataan cempuling yang membawa maksud satu kumpulan yang saling mengingatkan dalam pelbagai hal bersangkutan dunia dan akhirat.

“Sejarah muzik cempuling menurut Allahyarham Mustakim Abdullah iaitu tokoh cempuling di kampung itu, cempuling telah dipelajari secara asas daripada datuknya yang berasal dari Jawa Tengah iaitu Saparman bin Bangsawikram bin Jayalaksana.

“Asal sebenar nama cempuling ialah Jamjanin iaitu sempena nama dua kiyai iaitu kiyai Zamzan dan kiyai Kasnin di tanah Jawa. Mereka inilah yang mempelopori kesenian cempuling,” tambah Abas yang pernah membuat persembahan cempuling di Riau, Indonesia pada tahun 2008.

MOHAMAD FAISAL asyik memainkan cempuling di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor bersama ahli keluarganya.

Tambahnya, alat-alat muzik yang digunakan dalam seni tradisional itu jika digabungkan mampu menghasilkan satu muzik indah dengan gema bunyi berbeza dan irama yang merdu.

“Tujuan asal cempuling adalah untuk menarik minat masyarakat setempat kepada agama Islam sewaktu Islam mula bertapak di tanah Jawa yang sememangnya terkenal dengan agama dan kebudayaan Hindu.

“Penerapan agama Islam ketika itu yang dijalankan secara lisan tidak dapat menarik minat masyarakat di sana, maka kedua-dua kiyai gunakan unsur muzik dalam menyampaikan dakwah mengandungi kisah nabi dan ajaran Islam itu. Lagu-lagunya mengandungi unsur-unsur nasihat dan peringatan kepada pendengarnya dalam bentuk selawat, gurindam dan pantun,” katanya.

LAGU-LAGU cempuling kebanyakannya berasaskan nasihat dan peringatan bersangkutan hal dunia dan akhirat.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Kumpulan Seni Cempuling Warisan Era Baru, Dr. Ibrahim Ghaffar berbangga apabila terdapat anak-anak muda yang menunjukkan minat bagi mempelajari cempuling termasuk remaja sekolah di kawasan berhampiran.

Beliau merakamkan penghargaan buat pengetua dan guru kokurikulum sekolah-sekolah berhampiran yang memberikan kerjasama menubuhkan kelab bagi mengajar generasi pelapis ini.

“Menjadi satu kerugian sekiranya seni budaya ini tidak dapat dilanjutkan tetapi usaha kami daripada Kumpulan Seni Cempuling Warisan Era Baru mendekati pihak sekolah dan menyerap pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kapar dan SK Meru terhadap seni ini mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah.

Katanya, usaha-usaha itu bukan sahaja dapat memperkenalkan seni cempuling tetapi sekali gus memperkenalkan nama Kampung Bukit Kapar itu sendiri kepada pelancong luar.

SEBUAH buku lama yang menghimpunkan lagu-lagu seni cempuling.

“Di kampung ini, kami turut menyediakan bengkel cara-cara bermain cempuling. Bukan sahaja dapat mempromosikan seni warisan bahkan dapat memberikan limpahan rezeki kepada penduduk sekitar apabila peserta bengkel menempah inap desa.

“Antara pelancong luar yang pernah ke sini untuk melihat sendiri seni cempuling ialah pelajar dari Universiti Berlin, Jerman selain pelajar universiti tempatan yang membuat kajian tentang seni warisan masyarakat Jawa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN