fbpx

Bantu kesan cucu hilang 10 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazelan (tengah) memohon jasa orang ramai untuk mengesan cucunya, Muhammad Mahdi Raimi (kanan) yang hilang sejak 20 September lalu.

MUAR – Seorang warga emas dari Sungai Kelat Darat, Semerah, di sini, buntu selepas cucu angkatnya yang berusia 10 tahun hilang dan gagal dikesan setelah dibawa keluar oleh ibunya sejak 20 September lalu.

Mazelan Moen, 75 berkata, ibu kepada kanak-kanak berkenaan iaitu Roslinna Shamsudin, 39, merupakan anak angkatnya yang telah dijaga sejak bayi sehingga wanita itu berumah tangga.

Bagaimanapun, pada 20 September lalu, Roslinna yang merupakan ibu tunggal dan menetap bersama warga emas itu telah lari dari rumah dengan anaknya Muhammad Mahdi Raimi Abdullah menaiki motosikal jenis Honda Wave bernombor pendaftaran JSX9852.

“Susulan kehilangan dua beranak itu, saya telah membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa pada 23 September sebelum menerima maklumat bahawa Roslinna bersama anaknya ketika itu berada di Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Sebaik menerima maklumat berkenaan pada Isnin lalu (27 September), saya segera ke sana dan rupa-rupanya Roslinna telah ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dikesan mengalami kemurungan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut pesara tentera itu, bagaimanapun Muhammad Mahdi Raimi tidak ditemui bersama ibunya selain wanita itu juga gagal memberikan maklumat berkenaan anaknya kerana keadaan penyakit yang dihadapi ketika ini.

Mazelan berkata, dia telah berusaha mencari kanak-kanak itu namun masih belum ditemui dan menjadi semakin bimbang dengan keselamatan cucunya yang mungkin berada seorang diri di luar.

“Saya pun keliru dengan perbuatan Roslinna menghilangkan diri bersama anak sebelum itu kerana kami tidak menghadapi sebarang permasalahan atau perselisihan faham.

“Malah sehari sebelum kejadian, kami berbual seperti biasa dan anaknya juga mesra dengan saya. Sejak bayi lagi, kedua-dua beranak ini telah saya jaga terutama selepas Roslinna bercerai dengan suaminya sewaktu dia hamil.

“Roslinna sudah berhenti kerja sejak lapan tahun lalu dan kali terakhir dia bekerja di syarikat air. Saya sedar Roslinna memiliki masalah kemurungan beberapa tahun sebelum ini namun keadaannya kembali normal selepas itu dan saya kurang pasti sama ada ia menjadi punca dia mengambil keputusan menghilangkan diri,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui lokasi Muhammad Mahdi Raimi boleh menghubungi Mazelan di talian 011-24062952 atau menyerahkan kepada pihak polis.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI