SHAH ALAM – Polis mengesahkan tiada unsur penderaan, pengabaian atau sebarang kesalahan jenayah dikesan di sebuah taska yang tular di aplikasi Threads susulan rakaman video memaparkan bunyi tangisan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan dijalankan selepas video tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun aplikasi tersebut dan mendapat perhatian ramai di media sosial.
Menurut beliau, pihaknya turut menerima laporan polis daripada pengusaha taska berkenaan yang menafikan dakwaan dibuat serta menyatakan hantaran tersebut merupakan fitnah yang boleh menjejaskan reputasi premis itu tanpa bukti jelas.
“Siasatan awal mendapati pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis berkenaan dengan kehadiran pihak polis.
“Pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis berada dalam keadaan baik dan nisbah pengasuh dengan kanak-kanak adalah mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak di taska itu juga tidak menemukan sebarang kesan kecederaan.
Katanya, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperoleh turut tidak menunjukkan sebarang sentuhan fizikal atau perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur pengabaian dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Hidayat Aziz di talian 012-5631612. – KOSMO! ONLINE














