BALIK PULAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkap bilik utama kediamannya di aras 24 sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini, malam tadi.
Mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat lima blok perumahan berkenaan, kira-kira pukul 11.30 malam.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama bapa dan dua lagi adik beradiknya di kediaman tersebut.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat pagi ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian berlaku nanti.
Terdahulu, maklumat ringkas dan gambar di lokasi kejadian telah dimuat naik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz di Facebooknya pagi tadi.
“Kejadian menyayat hati. Seorang anak lelaki berusia lima jatuh dari rumahnya di tingkat 24 sebuah kondominium.
“Dugaan yang besar untuk keluarga ini. Moga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE














