fbpx

Itali wajibkan pekerja miliki pas kesihatan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita menunjukkan Pas Hijau Covid-19 Itali untuk perjalanan pasca vaksin menggunakan telefon pintar pada 30 Jun 2021 di Turin, Itali. -Getty Images

ROM – Itali merancang untuk menjadi negara Eropah pertama mewajibkan pas kesihatan Covid-19 kepada semua pekerja, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.

Kerajaan Itali telah mengemukakan draf cadangan bahawa bermula Oktober ini, sijil vaksin digital akan diwajibkan kepada semua pekerja sektor awam dan swasta.

Langkah tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengambilan vaksin dan mengurangkan kadar jangkitan  pada musim sejuk ini depan.

Semua pekerja diminta untuk membuktikan bahawa mereka telah divaksin terhadap Covid-19 dan sembuh daripada jangkitan atau diuji negatif terhadap virus tersebut baru-baru ini.

“Kerajaan bersedia untuk mempercepatkan pengenalan pas kesihatan.

“Kami sedang bergerak ke arah menjadikan pas kesihatan sebagai satu kewajiban bukan hanya di sektor awam tetapi juga di sektor swasta,” kata Menteri Hal Ehwal Wilayah, Mariastella Gelmini kepada stesen radio tempatan, Radio Rai. 

Hanya pesara dan warganegara yang menganggur sahaja akan dikecualikan daripada membawa ‘pas hijau’ itu. Keputusan baharu itu akan diluluskan oleh kerajaan  Itali pada Khamis ini.

Ketika ini, hampir 75 peratus penduduk Itali berumur 12 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

“Vaksin merupakan satu-satunya senjata yang kita miliki untuk melawan Covid-19 dan kita hanya dapat membendung jangkitan dengan memvaksinasi sebahagian besar populasi,” kata Gelmini.

Minggu ini, Greece mula membuat ujian saringan terhadap pekerja yang tidak divaksinasi di sektor awam dan swasta. 

Sementara itu, Perancis pula telah mewajibkan vaksinasi  untuk semua petugas kesihatan.

Beberapa negara Eropah lain juga telah mewajibkan pas kesihatan Covid-19 di tempat awam seperti restoran, bar, muzium, pawagam, dan teater. 

Itali sudah menjadikan ‘pas hijau’ satu kewajiban bagi guru dan pekerja sektor awam lain bulan ini, sementara pekerja kesihatan diwajibkan untuk mendapatkan vaksin sejak April lalu.

Langkah itu menyebabkan berlaku protes daripada pihak pembangkang, dengan pengkritik berpendapat bahawa ‘pas hijau’ menyekat kebebasan.

Namun, menurut beberapa laporan, Itali juga tidak merancang untuk memecat pekerja yang enggan membawa ‘pas hijau’.

Mereka sebaliknya boleh didenda sehingga €1,000 (RM4,907) sebelum digantung tugas selepas lima hari. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI