fbpx
MENERUSI Kena Check, Joe Flizzow kelihatan seperti seorang bapa yang cukup berbangga dengan kejayaan dua anak perempuannya, Bunga dan Hullera.

Joe Flizzow diapit ‘dua anak perempuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOE FLIZZOW kini muncul dengan single baharu dan menariknya, pemilik nama lengkap Johan Ishak itu berkolaboratif dengan dua vokalis wanita berbakat besar iaitu Bunga dan Hullera.

Bernuansakan hip hop dan rap, selain menyaksikan kehebatan perkongsian karya terkini daripada Mr. President, lagu yang berjudul Kena Check turut membuka ruang, bukan hanya berdiri sebaris dalam sebuah karya bersama Joe, gandingan Bunga dan Hullera juga memberi perlambangan lain iaitu kuasa wanita.

Bukan mudah untuk menjalin kolaborasi dengan Joe melainkan penyanyi terpilih miliki bakat luar biasa dan mampu menandingi energi Joe, terutama dalam perihal nyanyian rap.

Melodi, momentum

Dari segi kualiti melodi, Kena Check terkandung gumpalan nilai sebuah karya rap yang sempurna.

Rentak yang dihasilkan daripada ketiga-tiga penyanyi bersatu dengan baik. Kredibiliti Joe tidak memerlukan banyak huraian, walaupun berkolaboratif dengan penyanyi wanita, dia bijak menyesuaikan momentum bersama Bunga dan Hullera.

Verse yang lahir dari bibir Joe memang jarang kering idea dan menghampakan.

Hal sama terisi dalam Kena Check dan kali ini, dia dikelilingi dua bakat muda berlainan jantina. Dalam penyatuan kali ini, Joe seumpama seorang bapa yang bangga dengan kualiti kerja anak-anak perempuannya.

Ada satu ungkapan kata yang ingin penulis lontarkan, Hullera telah membuktikan dia perlu terus diberikan perhatian dalam area hip hop tanah air.

Dalam Kena Check, Hullera melenturkan signatur nyanyian rap tersendiri.

Potensi Hullera, Bunga

Biarpun rap berkiblatkan Barat atau Hollywood, Hullera tidak terikut dengan gaya nyanyian orang luar. sekali gus tidak perlu menjadi Cardi B atau Nicki Minaj untuk disedari ramai.

‘Keep it hunnid percent , fokus tak perlu lens, look at my poket fat’. Itu antara lontaran verse rap Hullera yang cukup ‘swag’ namun tidak tertonjol terlalu kebaratan walaupun secara fizikalnya, dirinya seorang yang agak ‘boyish’.

Satu perkara tentang Bunga yang dikesali penulis secara peribadi, dia mungkin patut diberi peluang menyanyi rap namun tidak berlaku.

Verse Bunga tetap tidak mengecewakan biarpun ada yang berpendapat vokalnya kedengaran seperti Nabila Razali. Bunga sebenarnya cukup sebati dengan energi yang dicernakan Joe dan Hullera.

Dari segi nukilan lirik, tiada banyak yang boleh dibangakan kerana dalam segala ‘kemewahan’ yang dinukilkan, turut diselitkan mesej atau pesanan penaja namun tidak terasa seperti wujud agenda itu kerana dijayakan dengan cukup profesional dan tersirat.

POPULAR