TIDAK kira perjalanan jauh atau dekat, pengangkutan seperti kapal terbang menjadi pilihan ramai kerana ia menjimatkan masa.
Jika membuat tempahan awal, pihak syarikat penerbangan akan menawarkan harga tiket yang lebih murah.
Walaupun kini aktiviti penerbangan agak perlahan disebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19, tetapi ia dijangka kembali rancak apabila negara beralih ke fasa ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekitar September dan Oktober nanti.
Sehubungan itu, orang ramai sudah boleh membuat perancangan percutian dan lokasi yang bakal dituju dengan menaiki kapal terbang.
Namun, dalam keterujaan itu, ada segelintir orang yang mempunyai fobia menaiki kapal terbang atau dikenali sebagai aerophobia.
Mereka yang mempunyai fobia tersebut akan diserang perasaan panik dan trauma sehingga menimbulkan suasana tidak tenang.
Apatah lagi jika mereka dihantui dengan berita-berita pesawat terhempas dan pelbagai lagi peristiwa tragis berkaitan kapal terbang hingga mencetus trauma sangat mendalam.
Sehubungan itu, pada kali ini, Horizon memberikan beberapa tip penting agar anda dapat menaiki kapal terbang dengan lebih tenang.
1. Persiapan awal
Membuat persiapan awal adalah sangat baik tidak kira dalam apa jua situasi, tambahan pula ia akan membuatkan kita lebih tenang kerana segalanya sudah tersedia.
Datang awal ke lapangan terbang juga dapat membantu mengurangkan rasa cemas kerana semuanya telah disusun dengan baik dan minda bersedia untuk menaiki kapal terbang.
Bayangkan anda datang lewat ke lapangan terbang, pasti akan mencetuskan perasaan cemas ditinggalkan pesawat dan pada masa sama sibuk menguruskan bagasi.
Situasi tersebut akan memburukkan lagi aerophobia.
Justeru, anda dinasihatkan datang awal agar keadaan lebih tenang sambil menikmati suasana sekitar, selain mengisi masa dengan membaca buku dan aktiviti berfaedah lain.

2. Tambah ilmu mengenai pesawat
Buat pembacaan atau menonton video mengenai bagaimana pesawat diterbangkan merupakan salah satu cara untuk mengurangkan rasa takut.
Anda juga boleh membaca mengenai topik-topik lain berkaitan penerbangan seperti turbulence iaitu situasi yang mana pesawat mengalami sedikit gegaran apabila berada di udara.
Apabila anda mempunyai pengetahuan mengenai pesawat dan penerbangan, ini akan mengelakkan daripada berfikiran negatif dan cepat panik.
Sentiasa fokus dan patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh anak kapal agar segalanya berjalan lancar.
3. Tempat duduk
Bagi mereka yang mengalami aerophobia, dinasihatkan untuk mendapatkan tempat duduk di barisan hadapan pesawat ketika berlepas.
Tempat duduk hadapan sangat sesuai dengan mereka yang mengalami fobia tersebut kerana di kawasan itu kurang berlakunya gelora atau gegaran.
Justeru, anda perlu membuat tempahan tiket lebih awal bagi mendapatkan tempat duduk hadapan.
4. Berdoa, mendengar muzik
Jangan lupa untuk berdoa, apabila kita meletakkan segala urusan kepada Allah S.W.T, hati akan menjadi lebih tenang.
Bagi menghilangkan rasa bosan, muzik kegemaran boleh menjadi peneman dan pada masa sama akan membuatkan anda lebih relaks.
Di samping itu, sibukkan diri dengan aktiviti lain seperti menonton drama, filem, video dan membaca.

5. Latihan pernafasan
Anda boleh cuba membuat latihan pernafasan kerana ia dapat membantu mengurangkan rasa cemas dan berasa lebih tenang.
Ulangi beberapa kali sehingga rasa gementar berkurangan dan fikiran juga harus dikosongkan.
Jangan terlalu banyak berfikir hingga menambah rasa cemas, abaikan perasaan takut dan bayangkan keindahan lokasi yang bakal anda kunjungi.














