GEORGE TOWN – Seorang peniaga tidak menyangka gerai mainan yang diusahakannya sejak 15 tahun lalu di Ropewalk, di sini dipilih sebagai lokasi penggambaran filem Netflix lakonan bintang Hollywood, Mark Wahlberg, semalam.
Sheikh Mokhtar Sheikh Ali atau lebih dikenali dengan panggilan Mamu Tan, 60 berkata, kehadiran pelakon berusia 55 tahun itu di lokasi tumpuan pelancongan tempatan itu sememangnya menjadi momen paling berharga buat dirinya.
Menurutnya, kesemua peniaga di Ropewalk telahpun dimaklumkan lebih awal oleh pihak produksi berkenaan berhubung slot penggambaran yang bermula dari pukul 5 pagi hingga 5 petang.
“Paling teruja apabila babak lakonan beliau (Mark Wahlberg) diadakan di gerai mainan saya. Ketika penggambaran berlangsung, saya hanya meneruskan rutin harian seperti biasa dengan melayan pelanggan yang terdiri daripada pelakon tambahan.
“Saya bukan sahaja berpeluang melihatnya dari jarak dekat malah turut sempat berbual dengannya tentang filem-filem lakonannya. Beliau memang sangat peramah dan rendah diri,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Beritahu Mamu Tan lagi, Ropewalk pernah menjadi lokasi penggambaran produksi tempatan suatu ketika dahulu, namun ini merupakan kali pertama lokasi tumpuan penduduk tempatan itu dipilih antara lokasi penggambaran filem Hollywood.
“Saya memang tak sangka Ropewalk dipilih sebagai lokasi penggambaran filem antarabangsa. Sebagai peniaga, saya rasa bangga kerana kawasan ini diberi perhatian.
“Saya harap apabila filem ini ditayangkan nanti, Ropewalk akan lebih dikenali di peringkat antarabangsa dan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke sini,” ujarnya.
Sebelum ini, Mark Wahlberg mencuri perhatian ramai apabila berkunjung ke beberapa lokasi di sekitar George Town bagi menjalani penggambaran filem Netflix, The Big Fix.
Terdahulu, Penang Global Tourism menerusi hantaran di Facebook berkata, sebagai destinasi yang menggabungkan warisan, budaya, kreativiti dan pengalaman moden, Pulau Pinang terus menjadi inspirasi kepada produksi antarabangsa, sekali gus memperkenalkan keunikan negeri ini kepada masyarakat global.
“Kami amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Mark Wahlberg bersama pasukan produksi yang memilih beberapa lokasi di Pulau Pinang sebagai latar penggambaran karya terbaharu mereka.
“Daripada pesona bersejarah Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town hinggalah kepada kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi, Pulau Pinang menawarkan latar yang unik dan terus memikat hati pembikin filem dari seluruh dunia.
“Kepada Mark Wahlberg dan seluruh pasukan produksi, kami mengucapkan selamat menjalani penggambaran. Semoga segala urusan dipermudahkan dan anda berpeluang menikmati makanan terkenal dunia, khazanah warisan serta layanan mesra yang menjadi kebanggaan Pulau Pinang,” katanya. -KOSMO! ONLINE















