fbpx

Jun Hoong gagal ke Olimpik sebab perubahan peraturan FINA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HOONG menjadi mangsa perubahan peraturan kelayakan kuota individu FINA ke Olimpik iaitu hanya 12 tempat sahaja diperuntukkan berbanding 18 tempat yang ditetapkan sebelum ini. - AFP

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican memahami kekecewaan yang dialami atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong selepas Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memutuskan tiada slot buatnya pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

FINA dalam satu kenyataan memaklumkan kepada Persatuan Renang Malaysia semalam menyatakan, mereka mengekalkan keputusan tiada slot diperuntukkan kepada Jun Hoong untuk bertanding dalam acara 10 meter (m) platform individu di Tokyo.

Jun Hoong sebelum ini berjaya mengesahkan slot ke Olimpik Tokyo dalam acara 10 meter (m) platform individu pada Piala Dunia Terjun 2021 di Pusat Akuatik Tokyo awal bulan lepas apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-18.

Bagaimanapun, FINA mendakwa terdapat perubahan dalam peraturan kelayakan kuota individu iaitu hanya 12  tempat sahaja diperuntukkan berbanding 18 tempat yang ditetapkan sebelum ini.

“Keputusan oleh FINA ini dilihat bertentangan dengan syarat kelayakan asal yang diluluskan oleh mereka sebelum itu dan ia telah menjejaskan harapan Jun Hoong serta beberapa penerjun dari negara lain.

“Saya amat memahami kekecewaan yang dialami oleh Jun Hoong pada ketika ini. Saya juga memahami kesukaran yang dia lalui sebelum ini untuk melakukan kemunculan semula di mana pada satu ketika dia telah hampir bersara ekoran kecederaan dan pembedahan yang dialami.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) untuk berbincang secara terperinci dengan Jun Hoong, jurulatihnya dan Persatuan Renang Malaysia untuk memperinci dan meneruskan program latihan Jun Hoong yang sebelum ini terbukti berkesan. 

“Semoga Jun Hoong akan dapat meneruskan program latihan menuju Sukan Asia 2022 di Hanzhou, China. Saya difahamkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah menghantar surat rayuan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang turut terlibat dengan perubahan syarat kelayakan tersebut. 

“Kita berharap IOC dan FINA dapat memberi pertimbangan semula berkenaan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ketiadaan slot tersebut meleburkan impian Jun Hoong untuk mengulangi pencapaiannya pada Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan dia berjaya meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform serirama. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI