KUALA LUMPUR – Langkah beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun berakhir apabila tersingkir di pusingan pertama.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi, gandingan No.19 dunia itu tewas 24-26, 21-15, 18-21 kepada Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat (AS).
Walaupun berdepan lawan yang menghuni ranking ke-28 dunia, namun Arif-Roy King bermula langkah kiri apabila tewas 24-26 di set pertama sebelum bangkit menang 21-15 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bersambung set ketiga, perlawanan berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan saling bertukar servis dan terikat 15-15, namun tuah memihak Zhi Yi-Smith apabila menang 21-18.
Sementara itu, perseorangan wanita, Wong Ling Ching turut gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 14-21, 11-21 kepada bekas juara dunia dari India, P.V. Sindhu.
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Clarissa San berdepan nasib sama apabila tewas straight-set 15-21, 19-21 kepada pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dalam tempoh 36 minit.
Bagaimanapun, perseorangan lelaki, Leong Jun Hao kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan pemain Taiwan, Chi Yu Jen 19-21, 16-21 dan melangkah ke pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE















