fbpx
Penghadang di laluan tikus dan utama dibuat bagi menghadap ada pihak yang melanggar undang-undang ketika PKP. - Gambar hiasan

Hukum si ‘keras’ kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTWAN EKSEKUTIF

DALAM mengekang wabak Covid-19 pelbagai cara dan kaedah sudah dilakukan kerajaan. Bermula dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lalu sehingga 3.0 semuanya telah dilakukan dengan cara terbaik.

Antaranya menyeru dan memastikan masyarakat duduk di rumah atau ‘stay at home’, pemakaian pelitup muka (mask) berganda dan pengambilan vaksin.

Namun di sebalik usaha itu, apalah ertinya jika masih ada lagi individu yang degil tidak mahu mengikut saranan kerajaan untuk mencegah wabak maut itu.

Kali ini penulis ingin mengambil perhatian umum dengan sikap sesetengah individu yang sanggup melakukan khianat merosak dan mengalihkan penghadang jalan ‘laluan tikus’ yang dibuat pihak berkuasa.

Perbuatan itu dilakukan dengan satu tujuan iaitu ingin merentas negeri atau daerah tanpa perlu melalui sekatan jalan raya (SJR).

Tapi tahukah si pelaku, tindakan yang turut membuka peluang orang lain untuk merentas sempadan itu sebenarnya telah menyusahkan pihak berkuasa memantau pergerakan sekali gus berlaku risiko tercetusnya penyebaran virus.

Berdasarkan laporan media pada minggu lalu, polis sedang mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan penghadang jalan raya di tiga lokasi berbeza di Kuala Terengganu.
Kerosakan itu dikesan berlaku pada 30 Mei lalu membabitkan laluan alternatif di beberapa kampung di daerah itu.

Polis tidak menolak kemung­kinan perbuatan khianat itu dilakukan penduduk setempat yang keluar dari mukim masing-masing dan cuba merentas da­erah tanpa kebenaran pihak polis.

Melihat situasi itu, sikap segelintir yang masih ‘keras’ kepala dan tidak ambil kisah arahan penguatkuasaan PKP amat mengecewa dan menyedihkan pihak polis.

Mengikut kesalahan, mana-mana individu yang melakukan khianat, pertuduhan boleh dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pengamal undang-undang, Muhammad Amin Abdullah berkata, tindakan seseorang mengalihkan penghadang jalan yang dipasang di laluan alternatif adalah tidak bertanggungjawab.

“Adalah wajar sekiranya didapati bersalah si pelaku ini dijatuhkan hukuman yang berat, setimpal dengan perbuatannya yang mementingkan diri sendiri tatkala negara sedang berhadapan dengan musibah yang begitu mencabar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengatakan kepentingan awam hendaklah menjadi faktor pemberatan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

Katanya, hukuman yang berat kepada pesalah ini akan memberi mesej kepada orang awam agar terus mematuhi undang-undang sedia ada dan juga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Teringat penulis kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada akhir bulan lalu: “Sekiranya kami (petugas barisan hadapan) rebah, anda dan ahli keluarga mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya.

Apa yang membimbangkan penulis, adakah tarikh 14 Jun ini iaitu tarikh akhir sekatan perge­rakan penuh (total lockdown) atau kita terpaksa melalui fasa kedua dan seterusnya? Semua­nya terletak pada tangan kita untuk menentukannya.

BERITA BERKAITAN