fbpx

Lebih 200 mangsa insiden tren terima bantuan RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tajuddin pada sidang akhbar di lokasi kejadian pagi tadi.

PETALING JAYA – Kesemua penumpang yang terlibat dalam kejadian pertembungan dua buah tren Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya di ibu negara malam tadi akan menerima bantuan kewangan khas RM1,000 setiap seorang.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bantuan tersebut merupakan salah satu daripada tiga bentuk bantuan kewangan yang akan diberikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kepada kesemua penumpang yang terlibat.

“Selain bantuan RM1,000 itu, kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya yang bersesuaian dengan kecederaan para penumpang juga akan ditanggung oleh pihak Prasarana.

“Pihak syarikat juga akan turut menyalurkan sumbangan bantuan sara hidup bagi penumpang yang kehilangan pendapatan susulan insiden ini memandangkan ada di antara penumpang yang tidak mampu bekerja kerana sedang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya pada satu sidang akhbar di lokasi kejadian pagi tadi.

Menurut Tajuddin, pihaknya mewakili Prasarana melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kejadian yang tidak diingini ini dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta para penumpang khususnya.

“Kami amat sedih dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun tanpa sebarang insiden sebegini.

“Disamping memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia, fokus utama kami adalah untuk membuat penilaian dan mengesyorkan langkah segera yang akan diambil untuk memberikan sokongan serta bantuan kepada penumpang terlibat,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berhubung kelewatan beliau ‘turun padang’ untuk melihat sendiri tragedi yang berlaku, Tajuddin meminta semua pihak untuk bertenang dan tidak membuat sebarang provokasi susulan perkara itu.

“Petang itu saya baru selesai satu tugasan syarikat dan telah lawat dimaklumkan berhubung kejadian tersebut malah saya juga sedang melakukan persediaan untuk janji temu penerimaan vaksin dos kedua hari ini.

“Apabila saya dimaklumkan tentang kejadian, saya telah membuat keputusan untuk turun sendiri ke lokasi pada awal pagi ini bagi melihat sendiri apa yang telah berlaku,” jelas beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan, seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Daripada 213 penumpang yang cedera, enam daripada mereka berada di tahap kritikal dengan tiga memerlukan bantuan ventilasi manakala 15 orang separa kritikal dan 43 lagi dilaporkan tidak kritikal.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI