fbpx

Pegawai kerajaan sengaja hilangkan dokumen tender – Kartel Projek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam Baki

PETALING JAYA – Kartel Projek wujud angkara sikap pegawai kerajaan yang tidak berintegriti dan amanah dalam menguruskan perolehan tender terbuka kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, sistem tadbir urus kerajaan sedia ada sebenarnya sudah cukup baik namun, ia telah dirosakkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan pegawai kerajaan yang terlibat dalam Jawatankuasa Penilaian didapati telah membantu dalam menyediakan dokumen tender.

“Tindakan itu dilakukan supaya tidak berlaku satu kesalahan dan sebagainya. Bahkan ada juga yang menghilangkan dokumen-dokumen syarikat lain.

“Selain itu, ada juga pegawai kerajaan yang tahu dokumen itu tidak benar tetapi bila masuk tender, dokumen itu sengaja dihilangkan supaya orang tidak nampak bahawa dokumen itu tidak betul dan palsu,” ujarnya.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika ditemu bual menerusi program Soal Rakyat bertajuk ‘Kartel Projek Merugikan Rakyat’ di TV3 hari ini.

Pada masa sama, beliau meluahkan rasa terkilan dengan sikap golongan berkenaan yang hanya menguntungkan pihak tertentu sedangkan ia jelas merugikan rakyat negara ini dan juga kerajaan.

“Sikap memonopoli projek menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos bahan akibat terpaksa membaiki kerosakan selepas projek yang gagal mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelasnya, kewujudan kartel juga telah menjejaskan peluang-peluang kepada kontraktor yang benar-benar layak untuk mengendalikan sesuatu projek itu.

“Bayangkan bagaimana kontraktor-kontraktor yang layak mereka sanggup beli dokumen dan bayar beratus ribu termasuk bayar konsultan dan sebagainya, akhirnya mereka didapati tidak layak untuk mendapatkan projek berkenaan.

“Maka, wujudnya perbuatan monopoli projek ini juga satu kategori kerugian kepada kontraktor yang berwibawa kerana mereka yang sepatutnya layak telah diketepikan,” ujarnya.

Terdahulu, SPRM berjaya melumpuhkan satu sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh orang termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun baru-baru ini.

Sumber berkata, sindiket kartel projek itu telah memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara membabitkan nilai projek RM3.8 bilion. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI