KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan pengurusan cerun di negara ini perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan awal bagi menjamin keselamatan infrastruktur dan rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kegagalan cerun bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya memberi kesan besar terhadap rangkaian pengangkutan, kos operasi serta keyakinan awam.
Beliau berkata, Malaysia sebagai negara yang pesat membangun dengan jaringan jalan raya yang luas, termasuk lebuh raya, jalan persekutuan dan negeri, semakin bergantung kepada pembangunan di kawasan berbukit.
“Cerun bukan sekadar elemen geoteknikal, tetapi aset kritikal yang memberi kesan langsung kepada keselamatan awam dan ketahanan operasi dalam semua keadaan cuaca,” katanya ketika merasmikan International Conference on Slope 2026 (ICOS 2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.
Alexander berkata, kegagalan cerun boleh mengganggu hubungan antara bandar dan luar bandar selain menjejaskan rantaian logistik serta meningkatkan kos penyelenggaraan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk memperkukuh dasar dan amalan pengurusan cerun secara menyeluruh termasuk membudayakan aspek keselamatan.
Katanya, kementerian memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu ketahanan perkhidmatan, kecekapan perbelanjaan dan tadbir urus.
“Kos membaiki kerosakan akibat kegagalan cerun jauh lebih tinggi berbanding langkah pencegahan, justeru pelaburan awal berasaskan data perlu dipertingkatkan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keperluan pematuhan lebih jelas melibatkan semua pihak termasuk penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan kekeliruan tanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau berharap persidangan tersebut dapat menghasilkan pelan tindakan jelas, sistem amaran awal yang berkesan serta inovasi praktikal dalam pengurusan cerun. – KOSMO! ONLINE














