SHAH ALAM – Sekumpulan lelaki diburu selepas dipercayai mencuri kabel dengan pacuan empat roda di sekitar Seksyen 2 di sini, waktu subuh semalam.
Kejadian pada pukul 6 pagi itu disedari seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga penduduk kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian itu tular di media sosial menerusi rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai sedang mencuri kabel.
“Satu laporan polis dibuat seorang saksi yang juga penduduk dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
“Usaha mengesan dan menangkap semua suspek terlibat sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya malam ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 bagi membantu siasatan.
“Selain itu, mereka yang melihat individu mencurigakan atau sebarang aktiviti mencuri kabel diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202032,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














