SEPANG – Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memberi bayangan kemungkinan kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun hanya untuk sesi latihan berkala dan bukan secara sepenuh masa.
Zii Jia yang baru pulang dari kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark menjelaskan perancangan tersebut masih di peringkat awal dan memerlukan perbincangan lanjut dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Memang ada perancangan untuk sesi perlawanan latihan, tetapi ia perlu dibincangkan lebih lanjut kerana BAM bukan tempat yang saya boleh masuk sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1), hari ini.
Menurutnya, dia berharap dapat diberikan ruang untuk kembali menjalani latihan secara berkala di ABM tanpa perlu terikat sepenuhnya di bawah badan induk itu.
“Saya harap BAM boleh menjemput saya untuk sesi perlawanan latihan. Ia bukan secara sepenuh masa, tetapi mungkin secara berkala,” katanya.
Zii Jia turut mengakui pengalaman menjalani latihan bersama pemain kebangsaan sebelum ini memberi impak positif terhadap prestasinya di Piala Thomas.
Beraksi sebagai perseorangan ketiga, Zii Jia muncul antara pemain paling konsisten apabila mencatat kemenangan dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan termasuk menewaskan pemain Jepun, Koki Watanabe.
Bagaimanapun, hasratnya untuk terus menyumbang dalam aksi suku akhir tidak kesampaian apabila Malaysia tewas 0-3 kepada China.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei menyatakan pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu termasuk menyediakan kemudahan latihan serta rakan sepelatih bagi mempercepatkan proses pemulihan pemain itu. KOSMO! ONLINE














