fbpx

K2

Wanita tua wirawati haiwan terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUNHONG, 68, mengabdikan sisa-sisa hidupnya dengan menyelamatkan haiwan-haiwan terbiar.-AFP

DUA dekad yang lalu, Wen Junhong menyelamatkan seekor anjing jalanan yang terlantar di sebatang ­jalan di Chongqing, barat daya China.

Siapa sangka, kini wanita berusia 68 tahun itu telah berkongsi rumahnya dengan lebih 1,300 ekor anjing, 100 ekor kucing dan empat ekor kuda.

Anjing pertama yang diselamatkannya diberi nama Wenjing iaitu membawa maksud lemah lembut dan pendiam dalam bahasa Cina.

Sejak itu, dia tidak dapat membendung nalurinya untuk terus menjaga anjing-anjing jalanan dan terbiar di sekitar tempat tersebut.

Wanita warga emas itu berkata, dia terlalu risau tentang nasib anjing-anjing di jalanan termasuklah ditimpa kemalangan dan dijadikan bahan dagangan dengan menjual dagingnya.

“Sangat penting untuk kita bersama-sama menjaga kebajikan anjing yang terbiar ini.

“Kita harus menghormati makhluk hidup yang lain kerana bumi ini bukan hanya untuk manusia, tetapi haiwan juga mempunyai hak mereka,” katanya.

Pemilikan anjing atau sebelum ini dikenali dengan istilah borjuis sangat dilarang di bawah pimpinan pengasas Komunis China, Mao Zedong.

Sejak era Zedong berlalu, pandangan mengenai pemilikan haiwan telah berubah secara dramatik dan menunjukkan peningkatan.

Namun, negara tersebut masih belum memiliki undang-undang kesejahteraan haiwan nasional.

SEEKOR kucing comel terbiar yang diselamatkan oleh Junhong merenung lensa.

Sehubungan itu, menurut badan amal haiwan Asia, AnimalsAsia, puluhan juta anjing dan kucing terbiar tanpa sebarang pembelaan di China.

Haiwan terbiar di bandar juga jarang dimandulkan sehingga memburukkan lagi masalah dan memberi tekanan kepada pusat penyelamat haiwan yang kekurangan dana.

Selain haiwan terbiar yang ditinggalkan di hadapan rumahnya, Junhong turut menerima panggilan setiap hari untuk memintanya menolong lebih banyak anjing terbiar.

Di samping anjing, kucing dan kuda, Junhong juga tinggal bersama beberapa ekor arnab serta burung.

“Ada orang mengatakan saya gila kerana melakukan kerja ini.

“Namun, ia sedikit pun tidak memudarkan semangat membantu haiwan-haiwan yang memerlukan ini,” tuturnya.

Hari Junhong bermula seawal pukul 4 pagi dengan menjalankan kerja-kerja membersihkan 20 hingga 30 bekas najis dan kekotoran anjing selain memasak lebih 500 kilogram beras, daging dan sayur-sayuran untuk haiwan tersebut.

Kotoran-kotoran itu dibakar di halaman rumah Junhong.

Ada antara anjing tersebut yang dibiarkan berlari bebas di dalam kediaman itu dan sebahagian lagi tersimpan pada pintu belakang.

Haiwan-haiwan itu akan menyalak apabila melihat orang tidak dikenali mendekati kawasan rumah tersebut.

PEBAGAI haiwan dijaga di dalam sangkar yang terletak di salah satu ruang di rumah itu. – AFP

Setiap bilik di rumah dua tingkat itu penuh dengan sangkar haiwan yang bercantum di antara satu sama lain.

Dikelilingi pagar dan pintu gerbang berkunci, rumah terletak di lereng bukit itu adalah kediaman baharu Junhong apabila dia terpaksa berpindah setelah sering kali menerima aduan daripada jiran-jiran sebelum ini.

Junhong membiayai rumah penyelamat haiwannya itu dengan wang hasil penjualan apartmennya sebelum ini selain pelaburan sehingga AS$9,100 (RM37,473.80) menggunakan wang pencen dan simpanan daripada kerjayanya sebagai juruteknik alam sekitar suatu ketika dahulu.

Dia juga menerima sumbangan daripada orang ramai apabila kisahnya mendapat perhatian di media sosial.

Warga emas itu terkenal dengan jolokan Chongqing Auntie Wen oleh warga maya di media sosial.Junhong berharap perhatian tersebut akan membuka lebih ruang kepada pengambilan haiwan untuk dipelihara oleh orang ramai tetapi hakikatnya kedatangan haiwan baharu ke rumahnya lebih tinggi berbanding yang diambil.

“Saya berharap masyarakat akan lebih prihatin untuk membantu anjing terbiar ini dengan mengambilnya untuk dipelihara. Saya tidak boleh selama-lamanya menjaga haiwan-haiwan ini apatah lagi bilangan semakin bertambah saban hari dan ruang menjadi semakin sempit ditambah lagi dengan kekurangan dana,” ujarnya meluahkan keresahan yang terbuku di dalam hati.

Dalam pada itu, Junhong tidak terkecuali daripada kritikan jahat di media sosial selepas gambar kehidupannya tinggal bersama haiwan-haiwan tersebut disiarkan.

“Hidup di kandang kecil seperti itu adalah lebih teruk berbanding kehidupan sebagai anjing jalanan.

“Saya lebih rela digigit anjing jalanan daripada melihat haiwan itu dikurung di ruang yang sempit,” tulis seorang pengkritik di media sosial.

Junhong tidak melatah dengan kritikan, sebaliknya warga emas itu memberitahu, hanya anjing kecil diletakkan di dalam sangkar.

BUKAN sahaja anjing, Junhong juga menyelamatkan kuda.

Bagaimanapun, katanya, jika semua anjing dilepaskan, haiwan-haiwan akan bergaduh sesama mereka.

Ada juga yang cuba mencakar kandang kayu, manakala yang lain berlari dan bermain sesama mereka.

Seekor kuda pula akan membentak sesiapa sahaja yang berjalan di hadapannya sehingga Junhong terpaksa menutup kandangnya dengan kain.

Junhong bertuah, dia tidak keseorangan menguruskan haiwan-haiwan tersebut kerana dibantu enam staf yang tidur di sebuah ruang yang penuh dengan beg makanan anjing.

Salah seorang daripada mereka ialah Yang Yiqun yang menunjukkan kesan cakar pada tangan dan lengan.

“Saya suka anjing walaupun haiwan itu menggigit saya beberapa kali. Saya juga ingin membantu kerja-kerja murni Auntie Wen dan memberi sokongan moral kepada dia,” katanya yang telah bekerja dengan Junhong sejak lima tahun lalu.

Junhong mengakui untuk memastikan haiwan itu diambil orang untuk dipelihara adalah cabaran terbesar dalam perjuangannya.

“Keadaan ini menjadi semakin sukar kerana anjing semakin bertambah dan ruang menjadi terlalu terhad.

“Semoga semua pihak dapat memberi perhatian kepada hal ini dan sama-sama menjaga kebajikan haiwan,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI