PETALING JAYA – Dua lagi lelaki yang terlibat dalam kejadian merusuh di sebuah restoran di Little India, Brickfields Ahad lalu diberkas di Jalan Sri Sentosa ,Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu diberkas oleh pegawai dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) kira-kira pukul 5.16 petang.
“Hasil soal siasat terhadap kedua-duanya, mereka mengaku terlibat dalam pergaduhan dengan pekerja di restoran berkenaan.
“Semakan mendapati kedua-duanya tiada rekod jenayah lampau dan mereka telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sehingga kini dua lagi suspek masih diburu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan 11 lelaki naik berang lalu mengamuk selepas tidak dapat makan di sebuah restoran terkemuka di Little India, Brickfields lalu merosakkan peralatan kedai dan menyerang pekerja restoran, Ahad lalu.
Bagaimanapun tiga suspek berjaya diberkas pada hari yang sama manakala lima lagi suspek selang sehari kemudiannya. – K! ONLINE.














