fbpx

MARA nafi MRSM Sungai Besar langgar SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak pengurusan MRSM Sungai Besar terus menjalankan kerja sanitasi bagi mengawal penularan Covid-19 di maktab tersebut.

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menafikan tuduhan kononnya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengawal penularan wabak Covid-19.

MARA dalam satu kenyataan berkata, sejak hari pertama Covid-19 dikesan maktab tersebut, tindakan segera diambil dengan mewujudkan pasukan petugas khas diketuai pengetua dan dianggotai guru serta staf bagi menjalankan kerja sanitasi setiap hari dengan nasihat dan pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Sanitasi keseluruhan bangunan maktab dilakukan bomba pada 29 Januari. Seorang daripada pelajar yang bergejala ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

“Pelajar tersebut tidak kritikal, hanya mengalami gejala batuk. MARA sentiasa memastikan pelajar MRSM mengikuti SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19,” jelas kenyataan tersebut.

Penafian ini dikeluarkan susulan wujud satu pesanan WhatsApp mendakwa pelajar MRSM itu tidak mendapat bekalan makanan yang secukupnya, pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan serta wujud masalah membabitkan SOP keselamatan, sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

Tambah kenyataan itu lagi, pelajar yang bergejala diasingkan di blok berbeza serta menggunakan tandas yang berlainan sejak 24 Januari lalu.

“MARA turut menafikan isu kekurangan makanan dan peralatan pencegahan, sebaliknya pelajar yang dikuarantin di blok asrama dibekalkan dengan makanan yang dibungkus setiap hari mengikut menu dewan selera di samping makanan tambahan seperti buah-buahan dan minuman tertentu yang diperlukan pelajar.

“Selain itu, setiap pelajar dibekalkan pelitup muka dan cecair sanitasi tangan di samping menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada warden dan guru bertugas,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan tersebut, ibu bapa dinasihatkan agar menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak mereka. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI