fbpx
Asyraf Wajdi.

Mara juga fokus kes buli mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal bekerjasama dengan Pakar Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membangunkan satu modul khusus untuk menangani isu buli mental di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu diambil kerana impak dibayangi buli mental didapati lebih dahsyat berbanding buli fizikal sehingga boleh meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada mangsa.

Menurutnya, walaupun buli jenis itu tidak meninggalkan kesan secara luaran, luka yang ditinggalkan pada emosi, maruah dan keyakinan diri seorang boleh menjadi sangat parah.

“Buli mental di sekolah termasuk MRSM bukan perkara kecil. Ia boleh berlaku dalam bentuk ejekan, hinaan, gelaran memalukan, sindiran berulang, pemulauan, penyebaran fitnah, ugutan emosi atau perbuatan memalukan seseorang di hadapan rakan-rakan.

“Insya-Allah, Mara akan bekerjasama dengan Pakar Psikologi UPM untuk bangunkan modul tangani isu ini di MRSM. Kita juga akan memanfaatkan warden bekas tentera yang bakal bertugas sepenuh masa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf berkata, sejak menggalas amanah sebagai Pengerusi Mara, fokus utamanya adalah untuk memastikan semua maktab dan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak belajar.

Tegasnya, persekitaran yang harmoni penting bagi membantu pelajar membangunkan identiti, akal budi serta membina masa depan tanpa dibelenggu ketakutan, tekanan atau rasa terasing.

“Di samping pendekatan ‘You Touch You Go’ yang bukan sahaja sekadar tagline, tetapi diterjemahkan dengan tindakan tegas sehingga disingkirkan daripada institusi, pelbagai pendekatan preventif turut dilakukan.

“Bagi saya, apa jua bentuk buli sama ada fizikal mahupun mental mesti dihentikan dengan tegas. Setiap warga perlu memainkan peranan untuk membina budaya hormat, kasih sayang dan empati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN