PETALING JAYA – Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pihak pentadbiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diarah supaya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab dengan kadar segera dalam tempoh 24 jam.
Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, ia bertujuan untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati terlibat dengan kes buli di sebuah MRSM di Johor.
“Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM. Berdasarkan maklumat yang saya terima, perbuatan ini disyaki melibatkan enam orang pelajar tingkatan lima.
“Ibu bapa mangsa juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa. Saya dimaklumkan keenam-enam pelajar terbabit telah ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan,” katanya di media sosial, malam ini.
Beliau pada masa sama turut menzahirkan rasa duka cita, kesal dan kecewa selepas dimaklumkan mengenai kes tersebut.
“Perkara ini hanya diketahui selepas ibu bapa mangsa membuat hantaran di media sosial apabila anak mereka memohon untuk keluar daripada MRSM kerana tidak lagi mampu menanggung penderitaan akibat dibuli.
“Walau apa juga alasan yang diberikan, perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu ‘mendisiplinkan’ pelajar junior, sama sekali tidak boleh diterima dan tidak dikompromikan,” ujarnya .
Susulan itu, beliau sekali lagi mengulangi pendirian mengenai polisi ‘You touch, you go’, iaitu tiada lagi tempat untuk pembuli di MRSM.
“Kepada semua pelajar MRSM, jangan takut laporkan sebarang kejadian buli. Jangan memilih keluar daripada MRSM kerana tidak tahan menjadi mangsa. Laporkan segera kepada guru, warden atau pihak pentadbiran supaya tindakan dapat diambil segera.
“Saya juga ingin memberi amaran bahawa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi perbuatan buli ini, Mara tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan sewajarnya. Tiada kompromi dan tempat untuk pembuli di MRSM,” tegasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, enam pelajar senior sebuah sekolah berasrama di Muar dipercayai membuli dan memukul seorang pelajar tingkatan dua kerana menghisap vape.
Bagaimanapun tindakan kesemua suspek lelaki berusia 17 tahun itu membawa padah apabila mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Muar dan Alor Gajah, Melaka awal pagi semalam. – KOSMO! ONLINE














