SUBANG JAYA – Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang memandu secara melulu dan berbahaya dengan aksi ‘zig-zag’ sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, insiden tersebut dikesan pihaknya susulan video tular di media sosial.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang membabitkan sebuah kenderaan jenis BMW yang dipandu dari arah Puchong menghala ke Subang Jaya.
“Apabila sampai di tempat kemalangan, kereta BMW yang bergerak perlahan di lorong kanan kerana kesesakan telah dilanggar dari arah belakang oleh X70 berkenaan.
“Pemandu BMW yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, pemandu Proton X70 juga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih belum membuat laporan polis sehingga kini.
“Usaha mengesan pemandu Proton X70 masih dijalankan dan kes di siasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengakutan Jalan 1987,” ujarnya.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya Sarjan Mat Rizan di talian 011-32313666. – KOSMO! ONLINE














