fbpx

Perbankan Islam hilang peluang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

PANDEMIK Covid-19 mengakibatkan ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan dan kurang pendapatan.

Pada saat sukar ini, kita lihat peranan penting yang dimainkan oleh institusi kewangan di Malaysia bagi membantu masyarakat berdepan masalah kewangan.

Inisiatif bermula dengan pelaksanaan moratorium automatik sehinggalah bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.

Pun begitu, masih ramai masyarakat Muslim gagal melihat kelebihan yang diberikan sistem kewangan Islam berbanding perbankan konvensional.

Pertolongan ditawarkan oleh institusi kewangan Islam dilihat seakan-akan sama sahaja de­ngan apa yang disediakan bank konvensional.

Sedangkan ramai berharap sistem perbankan Islam, yang mengamalkan konsep perkongsian untung rugi dan bertepatan dengan kaedah fiqah lebih kehadapan dalam membantu peminjam menghadapi tempoh sukar, berbanding perbankan konvensional yang tidak dapat lari daripada konsep riba dan untung.

Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global, Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, sistem kewangan Islam di negara ini kehilangan satu peluang keemasan bagi membuktikan mereka adalah pilihan lebih baik berbanding perbankan konvensional.

Beliau sendiri sukar melihat perbezaan dari segi manfaat yang ditawarkan sistem perbankan Islam bagi membantu pe­minjam keluar daripada kemelut ekonomi.

“Perbankan Islam, adakah ia berbeza daripada konvensional atau memberi alternatif sekadar pada nama sahaja?

“Kalau kita melihat kepada prinsip asas perbankan Islam, ia bertunjangkan dua prinsip utama, iaitu berasaskan perkongsian risiko dan larangan riba.

“Dari segi fungsi pula, perbankan Islam bertindak sebagai pemangkin atau pemudah cara aktiviti perdagangan antara unit ekonomi yang mempunyai lebihan dengan unit ekonomi,” ­katanya.

Baharom berkata, berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia, jumlah aset dimiliki bank-bank Islam di Malaysia pada penghujung 2019 ialah RM835.19 billion berbanding dengan RM771.81 billion pada 2018.

“Ini satu pertumbuhan yang amat sihat. Selain didorong ke­perluan orang ramai untuk produk berasaskan shariah, ia­ juga dilihat sebagai alternatif yang tidak kurang menarik untuk golongan bukan Islam.

“Namun, apabila pandemik berlaku, berlaku sedikit kegusaran daripada pelanggan yang percaya bahawa perbankan Islam sesungguhnya berdiri di atas prinsip-prinsip seperti keadilan, kesaksamaan, inklusiviti dan keperihatinan apabila sistem kewangan ini tidak mempamerkan perbezaan dengan perbankan konvensional,” katanya.

Tambah Baharom lagi, ramai yang masih tertanya-tanya apakah yang unik dalam perbankan Islam setelah melalui kesulitan serta kesukaran akibat krisis ekonomi.

“Perbankan Islam harus menggunakan peluang ke­emasan ini untuk membuktikan mereka adalah institusi berasaskan ­shariah.

“Antaranya dengan memudahcara pembiayaan serta pembayaran pembiayaan, menunjukkan ehsan dan kehadapan tanpa menunggu arahan kerajaan untuk melanjutkan moratorium secara sukarela, menstruktur semula pembiayaan serta memberi diskaun kadar keuntungan.

“Ini akan menjadikan mereka lebih digemari, dihormati dan disayangi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI