fbpx
AZEEM FAHMI

Azeem kian menyinar, 10.08s beri petanda positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mempamerkan peningkatan prestasi memberangsangkan apabila mencatat masa 10.08 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan East Coast Relay di Jacksonville, Florida.

Catatan itu bagaimanapun tidak diiktiraf sebagai rekod rasmi susulan bantuan angin +4.1 meter sesaat (m/s), namun tetap menjadi indikator bahawa Azeem semakin menghampiri tahap terbaiknya menjelang cabaran lebih besar musim ini.

Dalam perlumbaan tersebut, Azeem menamatkan saingan di tempat keempat selain berada di kedudukan keempat keseluruhan daripada 59 pelari yang mengambil bahagian, membuktikan keupayaannya untuk bersaing di pentas kompetitif.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil mengesahkan catatan tersebut tidak sah sebagai rekod rasmi disebabkan faktor bantuan angin.

“Bukan rekod, kelajuan angin +4.1 m/s,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Namun, prestasi Azeem tetap dilihat positif berdasarkan konsistensi yang dipamerkan sejak kebelakangan ini.

Sebagai rekod, atlet berusia 22 tahun itu sebelum ini mencatat masa 10.17s pada Kejohanan Tom Jones Memorial bulan lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan yang semakin stabil di luar negara.

Perkembangan itu dilihat mampu menjadi suntikan motivasi buat Azeem untuk terus memperbaiki catatan masa, khususnya dalam usaha memburu tempat ke Sukan Asia.

Biarpun masa 10.08s itu tidak diiktiraf, ia tetap memberi keyakinan bahawa Azeem berada di landasan tepat untuk kembali mencipta larian lebih pantas pada kejohanan akan datang. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN