SERDANG – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi membuktikan statusnya sebagai pelari terpantas Malaysia apabila menjuarai acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), sebentar tadi.
Azeem yang baru pulang dari Amerika Syarikat mencatat masa 10.21 saat (s) untuk menewaskan pencabar dari Singapura, Muhammad Airiel Iskandar Rusli (10.34s), manakala tempat ketiga menjadi milik Mohammad Armin Zahryl Abdul Latif dengan catatan 10.43s.
Menariknya, pelari berusia 22 tahun itu mengakui dia langsung tidak meletakkan sasaran untuk mencatat masa pantas memandangkan masih bergelut dengan keletihan selepas mengharungi musim NCAA.
“Sejujurnya saya tidak menyasarkan apa-apa catatan masa yang pantas hari ini kerana badan saya masih lagi penat. Saya baru habis NCAA, kurang lima hari lalu dan baru tiba di Malaysia pada Selasa.
“Sudah tentu badan masih belum pulih sepenuhnya selepas perjalanan jauh dan jadual pertandingan yang padat,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.
Bagaimanapun, Azeem mengakui sokongan penyokong tempatan menjadi suntikan semangat untuk memberikan aksi terbaik meskipun belum berada pada tahap kecergasan optimum.
“Saya sangat bersyukur dapat berlari di hadapan penyokong sendiri. Ramai yang hadir memberi sokongan dan saya amat menghargai setiap seorang daripada mereka yang datang menyokong bukan sahaja saya, tetapi semua atlet yang bertanding hari ini,” ujarnya.
Azeem turut mengakui dia sendiri tidak menjangkakan mampu mencatat masa 10.21s kerana fokus utamanya hanyalah melengkapkan larian dengan baik dan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Selepas ini, Azeem dijadual mengalihkan fokus kepada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia di China pada awal Julai sebelum meneruskan persiapan menghadapi cabaran lebih besar menjelang Sukan Asia. KOSMO! ONLINE














