PELARI pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee memasang misi memperbaharui catatan terbaik musim (SB) apabila turun beraksi pada Kejohanan Seiko Golden Grand Prix 2026 di Tokyo, Jepun Ahad ini.
Atlet berusia 19 tahun itu mengakui kejohanan tersebut menjadi platform terbaik untuk meningkatkan keyakinan diri selain mengumpul pengalaman sebelum memberi fokus penuh kepada Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat nanti.
Menurut Danish, sasaran utamanya di Tokyo bukan memburu kemenangan semata-mata, sebaliknya mahu memperbaiki catatan semasa 10.46 saat (s) yang dilakukan pada Kejohanan Trek dan Balapan Varisiti (VTF) bulan lalu.
“Untuk Jepun ini saya tak letak sasaran masa yang terlalu tinggi. Kalau dapat catatan bawah 10.50s atau 10.40s itu sudah cukup baik untuk saya.
“Sasaran saya sebenarnya adalah untuk perbaharui season best dan capai kemuncak prestasi di Kejohanan Dunia B-20 di Oregon nanti,” katanya yang ditemui pemberita sebelum berlepas ke Tokyo, hari ini.
Sebagai rekod, Danish memiliki rekod terbaik peribadi (PB) 10.18s yang dilakukan pada Sukan SEA 2025 di Thailand dan catatan itu turut menjadi catatan terbaik miliknya musim lalu.
Dalam masa sama, Danish turut teruja apabila berpeluang beraksi bersama beberapa nama besar dunia termasuk juara dunia, Noah Lyles yang dijangka turut mengambil bahagian di Tokyo.
“Saya memang tak sangka Noah Lyles akan bertanding di Tokyo. Ini satu pengalaman besar untuk saya sebab dapat berlumba dengan atlet bertaraf dunia.
“Sebelum ini saya pernah beraksi menentang Puripol di Sukan SEA dan kali ini saya diberi peluang sekali lagi untuk bersaing dengan antara pelari terbaik dunia,” ujarnya.
Mengulas keadaan fizikalnya, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menjelaskan dia berada dalam keadaan baik meskipun mengalami sedikit ketegangan otot yang dianggap perkara biasa buat seorang atlet pecut. KOSMO! ONLINE














