PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memberikan isyarat positif menjelang penampilan keduanya pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun apabila memperagakan peningkatan prestasi dengan catatan 10.17 saat (s) di Florida, Amerika Syarikat semalam.
Catatan bertenaga itu dilakukan atlet kelahiran Perak berkenaan ketika mewakili pasukan Universiti Auburn dalam acara final 100 meter (m) pada Kejohanan Jemputan Tom Jones, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-14 daripada keseluruhan 36 peserta.
Saingan sengit di Stadium James G Pressly itu menyaksikan dua rakan sepasukan Azeem dari universiti sama mendominasi saingan itu apabila Kanyinsola Ajayi muncul juara dengan catatan 9.90s, manakala Israel Okon menduduki tempat kedua (9.95s).
Tempat ketiga pula menjadi milik wakil Universiti Minnesota, John Caleb yang mencatatkan masa 10.00s bagi melengkapkan kedudukan podium dalam perlumbaan kelas elit yang disertai barisan pelari pantas dunia tersebut.
“Petanda yang baik. Masih banyak yang perlu dilakukan,” tulis Azeem ringkas menerusi Insta Story miliknya, semalam.
Catatan yang dilakar Azeem itu menyaksikan peningkatan berbanding catatan terbaiknya bagi musim ini, 10.33s yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Yellow Jacket di Atlanta bulan lalu.
Sebagai rekod, Azeem yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-22 pada 29 April ini adalah pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia empat tahun lalu.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022 sebelum ini, Azeem berjaya menamatkan kemarau pingat kem olahraga negara apabila meraih gangsa menerusi catatan 10.11s di belakang jaguh China, Xie Zhenye (9.94s) dan pelari Thailand, Puripol Boonson (10.02s).
Dengan catatan 10.17s yang kini semakin menghampiri rekod peribadinya, Azeem dilihat berada di landasan tepat untuk sekali lagi mencabar kedudukan podium dan menjadi prospek pingat utama buat kontinjen negara di Jepun nanti.














