fbpx

Kanak-kanak lelaki cedera selepas terjatuh dikejar anjing liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan di kepala dan badan selepas terjatuh dari motosikal yang dibonceng kerana dikejar anjing liar di Taman Yakin Mesra, Sungai Siput kelmarin.

SUNGAI SIPUT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengalami kecederaan di kepala dan badan selepas terjatuh dari motosikal ketika dikejar anjing di Taman Yakin Mesra di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Mohd. Putra Afiq Sazri yang membonceng motosikal bersama rakan terjatuh ketika lari daripada dikejar anjing liar berkenaan.

Menceritakan kejadian tersebut, bapa mangsa, Sazri Abdullah, 41, berkata, dia dan anaknya itu hadir ke surau taman berkenaan untuk menunaikan solat Subuh sebelum mangsa memberitahu mahu pulang ke rumah dengan rakannya.

“Dalam perjalanan pulang bersama rakannya itu, anak saya terpelanting dan terjatuh selepas motosikal yang dibonceng itu melanggar bonggol dalam cubaan melarikan diri daripada dikejar anjing.

“Akibat insiden itu, dia mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima dua jahitan manakala badannya pula mengalami calar dan lebam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Sazli, dia bagaimanapun bersyukur apabila kecederaan anaknya itu tidak menyebabkan kecederaan dalaman dan tempurung kepala selepas terjatuh dari motosikal.

Berikutan kejadian itu, mangsa dirawat di Hospital Sungai Siput dan Sazli kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Siput selain aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Menurutnya, penduduk juga sering dikejar anjing liar di taman berkenaan namun aduan yang dibuat tiada sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad mengesahkan menerima aduan dan telah mengambil tindakan dengan menangkap anjing berkenaan pada hari kejadian.

“Seorang penduduk di taman tersebut mengakui sering memberi makanan kepada anjing tersebut namun dia tidak mempunyai lesen untuk memelihara haiwan berkenaan.

“Anjing tersebut kemudiannya dikurung sebelum ia dilepaskan di tapak pelupusan sampah selepas tidak dituntut mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, haiwan berkenaan juga tidak dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana ia hanya mengejar mangsa tanpa menggigitnya.  – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI