fbpx
PASUKAN perubatan bertungkus lumus untuk menyelamatkan Eriksen selepas dia rebah dan pengsan seketika ketika aksi Denmark menentang Ukraine.

Eriksen rebah sekali lagi di padang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ODENSE – Skuad Denmark berdepan detik cemas apabila bintang utama pasukan, Christian Eriksen rebah ketika aksi persahabatan menentang Ukraine sekali gus mengulangi tragedi lima tahun lalu ketika insiden serangan jantung yang hampir meragut nyawanya pada Euro 2020.

Pada aksi persahabatan awal pagi tadi, Eriksen yang berusia 34 tahun itu tumbang secara tiba-tiba pada minit ke-64 ketika Denmark mendahului 2-1 sehingga menyebabkan pegawai perubatan bergegas memberikan rawatan kecemasan.

Persatuan Bola Sepak Denmark (DBU) dalam satu kenyataan mengesahkan keadaan Eriksen stabil dan berada dalam keadaan sedar selain perlawanan bertemu Ukraine terpaksa dibatalkan ketika kedua-dua pasukan gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

“Eriksen sedar dan berada dalam keadaan baik mengikut situasi semasa,” menurut kenyataan DBU.

Doktor pasukan Denmark, Morten Boesen turut menjelaskan bahawa alat perentak jantung (pacemaker) yang dipakai Eriksen sejak insiden Euro 2020 berfungsi seperti yang sepatutnya.

“Eriksen pengsan seketika, tetapi dia kembali sedar dengan cepat dan kami dapat berkomunikasi dengannya.

“Alat perentak jantungnya memberi tindak balas yang sepatutnya. Dia kini menjalani beberapa pemeriksaan lanjut di hospital untuk mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut,” katanya.

Eriksen mengalami serangan jantung ketika menentang Finland pada Euro 2020 sehingga terpaksa berehat lebih enam bulan sebelum kembali menyinar dengan mewakili kelab Brentford, Manchester United dan kini bersama Wolfsburg. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN