JAKARTA – Sekurang-kurangnya tiga orang cedera, manakala beratus-ratus keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran besar di sebuah kawasan perumahan padat dengan penduduk di Jakarta Pusat, lapor akhbar The Independent.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta berkata, kebakaran bermula sekitar pukul 8.55 malam (waktu tempatan) di kejiranan Kebon Kosong, Kemayoran malam kelmarin.
Polis berkata, api merebak cepat dan memusnahkan kira-kira 250 rumah dengan 300 keluarga hilang tempat tinggal.
“Api bermula di dua kediaman sebelum merebak ke kawasan lebih luas,” kata polis.
Seramai 200 anggota polis dan lebih 25 jentera bomba dikerah untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat serta memadamkan api.
Kebakaran berlarutan selama lebih dua jam sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.30 malam (waktu tempatan), demikian menurut pihak berkuasa.
“Kebakaran disyaki berpunca daripada lintar pintas di salah sebuah rumah. Anggota polis dan bomba berusaha untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin dan melindungi harta benda,” kata Ketua Polis Jakarta Pusat, Reynold E P Hutagalung.
Polis turut mendirikan beberapa khemah kecemasan dan dapur bagi penduduk yang terjejas.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan lanjut. – AGENSI














