fbpx
SEBAHAGIAN kereta mewah yang dirampas SPRM susulan kes penyalahgunaan kuasa Imigresen

Pembelot Imigresen kaut untung RM3.6 juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sindiket penyalahgunaan cap keluar masuk negara yang didalangi pegawai imigresen dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM14.5 juta sejak 2017.

Menurut sumber, soal siasat ke atas 27 pegawai imigresen Isnin lalu mendapati sindiket tersebut aktif empat tahun lalu dengan menggunakan modus ­operandi setting counter di pintu-pintu masuk utama negara.

“Wang rasuah yang dikutip sindiket ini sebanyak RM14.5 juta (sejak 2017) dengan anggaran purata RM3.6 juta setahun.

“Pendapatan itu kemudiannya dibahagikan dalam kalangan ahli sindiket pegawai imigresen yang terlibat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Antara koleksi jam tangan yang dirampas daripada sindiket berkenaan.

Kata sumber, siasatan mendapati pegawai imigresen terbabit hidup mewah hasil kegiatan ha­ram tersebut termasuk membeli rumah, kenderaan, beg tangan berjenama mewah, barang kemas dan tanah.

Malah katanya, terdapat pegawai yang ditahan mampu membeli koleksi jam tangan bernilai RM30,000 dan komputer gaming berharga lebih RM18,000.

“Setakat ini dianggarkan kira-kira 30,000 pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti disenarai hitam, visa tamat tempoh ‘dilepas’ pegawai imigresen yang terlibat,” jelasnya.

Tambah sumber, kebanyakan transaksi wang rasuah itu dilakukan secara tunai dan dibayar kepada ejen di lokasi yang ditetapkan secara mingguan atau bulanan.

“Ada juga (pegawai terlibat) menggunakan akaun bank pihak ketiga seperti isteri, adik-beradik dan rakan terdekat,” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 46 individu yang terdiri daripada 27 kakitangan imigre­sen, 14 ejen dan lima orang te­ngah yang dipercayai terlibat kes salah guna cap pasport di pintu negara tumpas menerusi Ops Selat pada Isnin lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN