fbpx

Orang sunyi, naif sasaran Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SYALMIZI HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

HASRAT seorang peniaga online, Lisa (bukan nama sebenar) mengisi kesunyian dengan mencari cinta sejenis melalui aplikasi sosial di telefon bimbit bertukar tragedi hitam apabila dia bertemu kenalan yang salah.

Wanita berusia 42 tahun dari Butterworth, Pulau Pinang itu dipercayai terjerat dalam peni­puan scammer selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi Rela.
Rela ialah aplikasi sosial khas buat golongan lesbian untuk mencari kenalan sesama jenis.

Lisa pada awalnya sekadar mahu berkenalan dengan wanita itu sebelum mereka mula berbalas mesej menerusi WhatsApp.

Selain bercerita hal-hal peri­badi, kenalannya itu memper­kenalkan permainan online sambil menawarkan hadiah berupa wang yang lumayan.

Peniaga barangan kosmetik itu menjadi gelap mata selepas terpedaya dengan kata-kata manis wanita itu yang menjanjikan keuntungan awal sebanyak RM6,820 dalam masa singkat.

Dia telah membuat sepuluh transaksi memasukkan wang ke dalam tujuh akaun yang diberikan oleh wanita itu berjumlah RM62,340 dalam tempoh beberapa hari.

Lisa bagaimanapun terpaksa mengigit jari apabila wang simpananya lesap selepas kenalan yang tidak pernah ditemuinya itu secara tiba-tiba menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.

Dia yang menyedari ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Derah Seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, setakat minggu lalu, pihaknya mencatatkan sebanyak 278 kes berkaitan penipuan scammer melalui laman sosial pada sepanjang tahun ini.

“Bagi kes yang melibatkan Love Scam, sebanyak 17 kes telah dilaporkan iaitu mangsa terjerat menerusi aplikasi Facebook sebanyak 10 kes, Instagram (lima) serta masing-masing satu kes di aplikasi Telegram dan Soul.

“Ia melibatkan kerugian yang dialami mangsa Love Scam secara keseluruhannya sebanyak RM318,910,” katanya.

Daripada jumlah itu seramai 10 mangsa berusia dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun, 40 hingga 59 tahun (enam) dan 60 hingga 69 tahun (seorang).

Noorzainy berkata, pihak­nya percaya mangsa Love Scam kebanyakannya menjerat diri mereka sendiri selepas mencari kenalan di aplikasi dan laman sosial.

Dalam pada itu, ketua penyelidik kajian The Psychology of the Online Dating Romance Scam, dari Universiti Leicester, England, Profesor Monica Whitty dalam kajiannya mendapati individu yang gemar mencari perhubungan secara online berisiko menjadi mangsa Love Scam.

“Hubungan online mampu mengurangkan kesunyian, jadi golongan ini begitu terdedah de­ngan penipuan scammer selain individu yang yang mempunyai sikap naif, ada sejarah kegagalan dalam perhubungan dan mereka yang mudah jatuh cinta.

“Satu kajian mendapati, dalam mencari pasangan, wanita mahukan lelaki yang mempunyai taraf sosioekonomi yang tinggi, manakala lelaki memandang rupa yang menjadi faktor kepada scammer untuk menyusun strategi dalam mencari mangsa­nya (secara online),” katanya.

Dalam pada itu, Whitty mendedahkan mangsa Love Scam mengalami beberapa impak negatif selepas kehilangan wang dan kepercayaan.

“Antaranya adalah tekanan perasaan, rasa bersalah, malu, marah, takut, ingin membunuh diri, keresahan yang melampau, merasakan diri bodoh dan berada dalam penafian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI