BAYANGKAN selama berbulan-bulan, bahkan bertahun lamanya mengikat perut mengumpul duit, memohon cuti tahunan dan terbang ribuan kilometer ke luar negara untuk menenangkan fikiran, tetapi lain pula jadinya.
Jejak sahaja menjejakkan kaki di destinasi impian, mood berubah apabila melihat rakyat negara sendiri membuat kecoh, lebih parah merakam wajah penduduk tempatan sambil mengutuk secara terang-terangan demi sebuah kandungan.
Baru-baru ini tular di platform media sosial mengenai insiden kekecohan membabitkan sekumpulan pelancong Malaysia di China sehingga mengundang kecaman termasuk pihak negara luar.
Tindakan merakam individu lain di tempat awam dan mengeluarkan komen berbaur penghinaan bukan sahaja tidak sensitif, tetapi ibarat memalit arang ke muka seluruh rakyat Malaysia. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Perbuatan segelintir individu yang tidak menjaga kelakuan ini menyebabkan imej Malaysia yang terkenal dengan adab ketimuran terjejas di mata dunia.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara, Prof Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hanafiah menegaskan kemudahan teknologi hari ini ibarat ‘pisau dua mata’ bagi industri pelancongan.
“Setiap pelancong adalah ‘wartawan’ yang membawa kamera di tangan mereka. Kesilapan kecil yang dilakukan boleh tersebar ke seluruh dunia dalam masa beberapa minit menerusi algoritma media sosial,” katanya kepada Kosmo!.
Jelasnya, tindakan itu bukan sahaja merosakkan reputasi negara, bahkan boleh memberi implikasi jangka panjang kepada hubungan diplomatik sesebuah negara.
“Apabila sesebuah video kontroversi tular dan dilaporkan oleh media antarabangsa, ia mewujudkan persepsi negatif. Orang di negara luar mungkin akan mula memandang serong atau melayan pelancong Malaysia secara dingin, walaupun mereka tidak bersalah,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Dr. Hasnah Hussiin berkata, setiap negara mempunyai budaya, norma sosial, dan sensitiviti berbeza.
Menurutnya, di sesetengah negara maju, merakam gambar atau video orang asing tanpa kebenaran secara bertulis atau lisan merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius atas faktor privasi.
“Mengutuk budaya atau fizikal masyarakat setempat waima sekadar gurauan dalam bahasa Melayu adalah tindakan yang sangat biadab dan mencerminkan mentaliti kelas ketiga.
“Sebagai duta kecil negara, sudah tiba masanya kita mengubah mentaliti ketika bercuti. Keinginan untuk mengejar tanda suka dan tontotan di media sosial jangan sampai menggadai maruah diri dan negara,” ujarnya.
Tambahnya, pelancongan sepatutnya membuka minda kita untuk menghormati perbezaan, bukannya menjadi lesen bersikap angkuh atau berkelakuan buruk.
Hendak melancong ke luar negara? Silakan. Tetapi tinggalkan perangai buruk di rumah, sebaliknya bawalah adab kita bersama.














