fbpx

Fasa pertama LRA Sungai Rasau siap 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Pembinaan fasa pertama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dijangka siap pada tahun 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, loji itu berupaya membekalkan bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari (JLH) bagi daerah Klang.

Menurut beliau, status pembinaan projek tersebut masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan oleh jurutera perunding yang dilantik oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

“Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) juga akan menyediakan kajian dan dokumen terperinci berhubung spesifikasi sistem yang akan digunapakai di LRA tersebut.

“Projek pembinaan loji ini amat penting bagi perancangan pembangunan air di Selangor untuk tempoh 30 tahun. Projek ini bukan tergendala, sebaliknya telah diawalkan pelaksanaan pembinaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Michelle Ng Mei Sze dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Terdahulu Mei Sze ingin mengetahui status pembinaan LRA Sungai Rasau dan tahap pelaksanaannya pada masa sekarang.

Mengulas lanjut, Izham yang merupakan ADUN Pandan Indah menjelaskan fasa kedua pembinaan LRA itu pula dijangka siap tahun 2028 untuk agihan penduduk di wilayah Petaling.

“Kerja-kerja perincian berhubung pelaksanaan pembinaan LRA ini akan bermula selepas kajian kebolehlaksanaan selesai dilakukan.

“Selain aspek teknikal, aspek kewangan juga penting yang mana kerja-kerja huluan sumber air (source works) memerlukan dana geran daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM500 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI