fbpx
Mohd. Zubil

APMM terus pertingkat sempadan maritim negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seramai 912 kru nelayan asing dan 860 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sepanjang Januari lalu hingga Oktober.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak RM610,761,848 nilai rampasan ditahan.

Beliau berkata, kesemua tangkapan kru nelayan asing, PATI dan rampasan itu diperoleh menerusi pelaksanaan Op Benteng, Op Khas, Op Kuda Laut dan Op Naga selain pengawasan udara yang dilakukan sepanjang tahun.

“Op Benteng yang bermula sejak Mei berjaya menahan 82 PATI dan melaksanakan 47 pintasan sasaran curiga dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM38.1 juta.

“Manakala, bagi Op Naga (operasi banteras nelayan asing) bagi tempoh April lalu hingga kini, sebanyak 340 tangkapan dibuat, 13,487 pemeriksaan dan nilai rampasan berjumlah RM435 juta,” katanya dalam kenyataan dikongsi menerusi Facebook rasmi APMM hari ini.

Sementara itu katanya, bagi Op Kuda Laut bermula Jun hingga kini, sebanyak 71 bot nelayan asing ditahan dengan nilai rampasan sebanyak RM106.5 juta

Dalam pada itu, Mohd. Zubil berkata, Op Khas yang bermula Januari hingga kini, pihaknya berjaya merampas dadah bernilai RM27.4 juta, rokok (RM3.5 juta) dan ketum (RM169,700).

Pihaknya turut mengusir 261 vesel asing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurutnya, dengan kekuatan keanggotaan serta keupayaan aset, pihaknya akan terus komited menggalas amanah rakyat dan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan Zon Maritim Malaysia daripada sebarang ancaman.

“Kami akan memberikan komitmen penuh dalam apa jua keadaan dalam memastikan kawalan perairan negara sentiasa dijaga.

“Pembahagian tugas dan peranan setiap tenaga kerja dan aset diatur gerak secara sistematik,” katanya.

Katanya, bermula 21 Mac lalu hingga kini penugasan APMM Malaysia masih utuh dan semangat juang warga dalam melaksanakan tugas teras kekal pada paras optimum. – K! ONLINE