fbpx
GAMBAR bertarikh 25 Mei 2022 menunjukkan gelagat Sheng Yi (atas) di Zoo Negara, Kuala Lumpur.

Tunggu ‘lampu hijau’ China hantar pulang Sheng Yi, Yi Yi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua ekor anak panda di Zoo Negara, Kuala Lumpur, Sheng Yi dan Yi Yi akan dihantar ke China selepas Ogos ini mengikut perjanjian yang te­lah ditetapkan sebelum ini.

Sheng Yi yang kini berusia dua tahun dan Yi Yi berusia lima tahun itu sepatutnya dipulangkan ketika anak panda berusia dua tahun, bagaimanapun tertangguh beberapa kali disebabkan penularan Covid-19.

Sebelum ini, Nuan Nuan anak pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang telah dihantar ke China pada 14 November 2017 sebaik mencecah usia dua tahun.

Kata Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, pihak Zoo Negara boleh menjaga panda dalam jangka masa panjang, malah pihak­nya melihat kehadiran pasangan Xing Xing dan Liang Liang adalah mencukupi untuk menjadi daya tarikan para pengunjung.

Susulan tempoh ‘pinjaman’ pasangan gergasi tersebut akan berakhir pada 2024, Rosly berkata, ia bergantung kepada kerajaan Malaysia untuk memutuskan sama ada perjanjian bagi mengekalkan Xing Xing dan Liang Liang perlu dilanjutkan selepas tempoh itu.

GAMBAR bertarikh 1 Ogos 2019 menunjukkan gelagat Yi Yi yang merupakan anak kedua panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang.

Setakat ini, Xing Xing dan Liang Liang masing-masing berusia 17 tahun telah dikurniakan tiga ekor anak iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi pada 14 Januari 2018 seterus­nya Sheng Yi pada 31 Mei 2021.

“Kehadiran pasangan panda gergasi sudah cukup baik buat Zoo Negara dan sekiranya mereka dikurniakan anak lagi, kita akan akan hantar pulang ke China apabila cecah usia dua tahun sesuai perjanjian yang dibuat.

“Sementara itu, keputusan penghantaran pulang anak panda Sheng Yi dan Yi Yi bergantung kepada kerajaan China dan kita sedang tunggu tarikhnya.

“Setakat ini, masih belum ada tarikh yang ditetapkan untuk Sheng Yi dan Yi Yi dihantar pulang bersama-sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Ujarnya, pengunjung masih berpeluang melihat gelagat comel anak-anak panda berkenaan selagi kerajaan China masih belum memberi ‘lampu hijau’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN