fbpx

Limpahan leachate punca sungai tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG penduduk menunjukkan saliran air yang berubah warna menjadi hitam dipercayai akibat tercemar di sebuah kebun kelapa sawit di Kubang Tiga, Padang Besar baru-baru ini.

PADANG BESAR – Masalah pencemaran sungai dan saliran pertanian di Kampung Kubang Tiga di sini baru-baru ini dikenal pasti berpunca daripada limpahan air larut resap (leachate) dari tapak pelupusan sampah sanitasi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Perlis, Megat Hashirat Hassan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan siasatan selepas menerima ­aduan daripada penduduk kampung susulan penemuan bangkai ikan lampam di Kampung Kubang Tiga pada 8 Julai lalu.

Menurut beliau, pegawai penyia­sat mengesyaki kematian ikan itu disebabkan pelepasan bahan pencemar dari tapak pelupusan memandangkan jarak kedua-dua lokasi tersebut adalah tiga kilometer.

“Keadaan air sungai berwarna keperangan disyaki berpunca daripada campuran pelepasan leachate walaupun tapak pelupusan ini direka dengan konsep pelepasan sifar yang mana leachate yang dirawat akan dipam kembali ke tapak pelupusan.

“Pemeriksaan yang dibuat ke atas kolam pemantauan di tapak pelupusan mendapati leachate yang dikumpulkan melimpah dan mengalir masuk ke Sungai Jernih. Operator turut diarahkan supaya menghentikan limpahan serta-merta,” katanya di sini semalam.

MEGAT HASHIRAT

Jelasnya, siasatan turut mengesan pintasan leachate dari tangki yang digunakan untuk mengumpul dari kolam pemantauan sebelum menyalurkan kembali ke tapak pelupusan sampah ke kolam tadahan air hujan melalui satu saluran paip.

Operator tapak pelupusan sanitasi diarah untuk menghentikan lencongan air larut resap dengan serta-merta bagi mengelakkan pelepasan dari kolam tadahan memandangkan kolam tersebut direka dengan pelepasan secara berterusan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operator tapak pelupusan sanitasi terbabit bakal berdepan tindakan perundangan jika standard leachate tidak mematuhi spesifikasi pelepasan yang ditetapkan.

“JAS akan menjalankan persampelan untuk memeriksa tahap pematuhan standard pelepasan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran

Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kira-kira 800 penduduk bimbang mengenai kesihatan selepas mengalami gatal-gatal akibat pencemaran sungai dan saliran pertanian selain ratusan ikan air tawar mati.

Selain itu, golongan petani dan pesawah mengeluh apabila hasil pertanian seperti padi dan sa­yuran merosot dipercayai akibat pencemaran sama dan menggesa kerajaan negeri dan pihak berwajib segera mencari punca dan mengatasi masalah tersebut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI