fbpx
Gambar hiasan.

Jangan ada PKP lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini, media mela­porkan kes Covid-19 meningkat kepada 57.3 peratus iaitu 3,626 kes pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) bagi tempoh 19 hingga 25 November lalu berbanding 2,305 kes yang dilaporkan minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan sebelum ini berkata, majoriti kes terdiri daripada mereka berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Katanya, kes mingguan Co­vid-19 yang masih aktif dikesan melepasi angka 1,000 kes pada setiap minggu sejak ME41/2023 sehingga minggu lalu dengan kadar peningkatan antara 7.1 peratus hingga 57.3 peratus.

Lebih meresahkan pengguna apabila data Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, kadar kemasukan pesakit Co­vid-19 termasuk yang disyaki dijangkiti ke fasiliti kesihatan juga meningkat kepada 2.9 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada minggu berkenaan berbanding minggu sebelumnya.

Sudah pasti situasi itu membimbangkan rakyat apatah lagi dalam kotak pemikiran mereka pastinya teringat sama ada adakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan lagi yang mana ia mimpi ngeri setiap daripada kita.

Berkongsi perkara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar mengakui terdapat peningkatan bilangan kes Co­vid-19, namun kebanyakan kes direkodkan adalah jenis ringan.

“Varian Omicron masih dominan berbanding dengan pene­muan varian baru. Tapi perkara itu tidak menyebabkan kes serius. Kita tidak perlu bimbang ke­rana KKM sentiasa melakukan pemanatauan dari segala aspek,” katanya.

Tambah beliau, apa yang pen­ting ialah setiap individu me­lakukan langkah pencegahan Co­vid-19 seperti dahulu selain tidak mempercayai berita palsu atau dari sumber yang tidak sahih mengenai kes itu.

Langkah pencegahan yang boleh diambil adalah menga­singkan diri sekiranya bergejala, membuat pemeriksaan dengan cepat selain memakai pelitup muka ditempat awam.

Ditanya mengenai adakah akan berlakunya situasi PKP apabila kes semakin meningkat, beliau berkata, sekiranya kita mengamalkan kawalan kendiri dan tingkatkan liputan imunisasi sudah pasti tidak perlu PKP.

“Insya-Allah, kita tidak perlu ada PKP lagi. PKP pun terlalu drastik dan merugikan,” katanya.

Untuk rekod pada Jun tahun lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pengangkutan awam dan premis kesihatan berkuat kuasa 5 Julai tahun lalu.

Itu kelonggaran terbesar ter­hadap prosedur operasi stan­dard (SOP) Covid-19 sejak Malaysia memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April tahun sama.

Kelonggaran SOP itu dibuat susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei apabila status ­Covid-19 tidak lagi berada pada kategori Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa.

Sementara itu, menjengah komen orang ramai rata-rata mengatakan tidak mahu lagi merasai ‘nikmat’ PKP sebagaimana yang pernah kita lalui tiga tahun yang lalu.

“Gunakan mask (topeng mu­ka) itu jalan terbaik,” dan “Kes semakin meningkat jadi berhati-hati,” kata netizen.

Pandangan penulis, kita semua perlu menjaga diri masing-masing, lakukanlah kawalan kendiri mengelakkan terkena jangkitan ini sekali lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN