KUALA SELANGOR – Kesihatan gigi warga emas kini menjadi antara agenda utama Kementerian Kesihatan (KKM) apabila lebih 50 peratus golongan itu disasarkan masih memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli menjelang 2030.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia adalah selari Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2022-2030 dalam memastikan aspek kesihatan mulut terus menjadi asas kepada kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas di negara ini yang semakin menua.
Menurutnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA 2020) didapati hanya 34.3 peratus warga emas mencapai tahap 20 batang gigi asli.
“Manakala 13.9 peratus mengalami limitasi fungsi mulut yang menjejaskan kualiti hidup.
“Seperti yang saya sebutkan tadi gigi adalah gateway kepada tubuh badan, kita nak pastikan ia kekal berfungsi dan menjaga pelbagainya, termasuklah infeksi makanan-makanan dan sebagainya, ini sangat mustahak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen 6020 dan Kembara Senyuman Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, hari ini.
Justeru katanya, pihaknya akan menggerakkan Kembara Senyuman ke seluruh negara dengan menawarkan perkhidmatan antaranya pembuatan gigi palsu terus ke komuniti dan pusat jagaan di kawasan pedalaman.
Tegasnya, ini bagi memastikan tiada yang tercicir mendapatkan akses kesihatan pergigian itu termasuk dalam penggunaan teknologi pendigitalan 3DDT untuk penghasilan gigi palsu yang pantas dan berkualiti tinggi.
“Inisiatif ini merupakan antara langkah proaktif kerajaan dalam mendepani cabaran masyarakat menua dengan statistik terkini menunjukkan penduduk berumur 65 tahun ke atas telah mencecah 8.0 peratus pada tahun 2025.
“Kita mahu pastikan perkhidmatan kesihatan dan penelitian terus dapat disampaikan secara menyeluruh, dengan fokus kepada warga emas, golongan uzur, orang kurang upaya serta mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE














