fbpx

TVET buka peluang suri rumah cari pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAPSIAH mengurut seorang pelanggannya di Aura Seri Spa & Boutique, Teluk Intan semalam. – AINSAFRE BIDIN

TELUK INTAN – Biarpun sudah mencecah usia 55 tahun, Napsiah Daud dari Changkat Lada, Kampung Gajah, dekat sini, tidak malu untuk mula mencari rezeki sebagai juruterapi kesihatan.

Menurutnya, dia mula menawarkan khidmat sebagai jurute­rapi kesihatan sejak dua tahun lalu apabila suaminya, Mohamad Yusoff Ishak, 58, bersara daripada perkhidmatan kerajaan.

“Ketika suami masih bekerja, saya hanya menjalani kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa. Namun, idea untuk bekerja itu terdetik di fikiran selepas suami bersara.

“Secara kebetulan, terdapat sebuah spa kecantikan dan kesihatan di Teluk Intan iaitu Aura Seri Spa & Boutique yang sedang mencari calon juruterapi telah menawarkan bimbingan kepada saya dalam bidang tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, dia kemudian menjalani latihan sebagai juruterapi dan pemasaran selama tiga bulan sebelum mendapat keyakinan untuk menawarkan khidmat tersebut di sekitar tempat tinggalnya di Changkat Lada.

Menurut Napsiah, khidmatnya turut mendapat permintaan pe­langgan dari Hutan Melintang, Seberang Perak serta di Teluk Intan.

“Saya bersyukur kerana berpeluang memulakan karier sebagai juruterapi kerana saya gemar membantu orang lain. Ilmu dipelajari ini membuka jalan untuk ia (membantu) dilaksanakan.

“Dalam masa sama, ia juga membolehkan saya menambah pendapatan keluarga dan tidak hanya bergantung kepada pencen suami semata-mata,” katanya.

Ujarnya, proses pembela­jaran dalam bidang tersebut tidak terhenti setakat itu dan dia mengambil peluang untuk terus mendalami selok-belok kerjaya juruterapi menerusi kursus jangka pendek anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

Pasak adalah antara peneraju program flagship pelan pemba­ngunan Perak Sejahtera 2030 di bawah Koridor TVET (Program Latihan Teknikal dan Vokasional) Malaysia.

“Nak mengurut perlukan ilmu, jadi peluang untuk terlibat dalam program TVET anjuran Pasak tidak boleh dilepaskan. Saya berjaya mendapat tempat untuk mengikuti kursus penjagaan ibu berpantang dan senaman ibu berpantang selama dua minggu.

“Pengalaman yang diperoleh menerusi kelas kendalian tenaga pengajar Pasak yang juga pemilik Aura Seri Spa & Boutique, Shamsiah Latip juga amat bernilai,” kata ibu kepada empat anak itu.

Napsiah berkata, kira-kira 15 pelanggan memerlukan khidmatnya pada setiap bulan, de­ngan pendapatan diperolehnya adalah sekitar RM800. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI