fbpx

43 ekor lembu mati minum air parit beracun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI Veterinar Daerah Kuala Muda membuat pemeriksaan ke atas seekor lembu yang ditemui mati di Kampung Toh Pawang, Bedong, dekat Sungai Petani baru-baru ini.

SUNGAI PETANI – Empat penternak mengalami kerugian hampir RM200,000 selepas 43 ekor lembu milik mereka ditemui mati dipercayai setelah minum air parit berdekatan sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Toh Pawang, Bedong dekat sini pada Rabu lalu.

Penternak, K. Thines, 35, berkata, kejadian bermula apabila seekor lembu ternakannya ditemui mati berhampiran parit kecil kira-kira pukul 7 malam, Rabu lalu diikuti seekor lagi, sejam kemudian.

“Sehingga hari Sabtu lalu, sebanyak 18 ekor lembu milik saya dijumpai mati dalam keadaan mulut berbuih,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, pegawai di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) daerah Kuala Muda telah dipanggil untuk membuat pemeriksaan dan siasatan sebelum mengesahkan haiwan tersebut mati kerana terminum racun.

“Laporan telah dibuat di Ba­lai Polis Bedong berhubung kejadian dan kita meminta pihak berkaitan menyiasat lanjut tentang air beracun tersebut,” ujarnya.

KANDANG menjadi kosong setelah 43 ekor lembu mati dipercayai terminum air bukit mengandungi racun di Kampung Toh Pawang, Bedong, dekat Sungai Petani baru-baru ini.

Menurutnya, kesemua 43 ekor lembu itu dibela dalam satu kandang besar dan ­di­­a­singkan mengikut penternak masing-masing.

Seorang lagi penternak, N. Yugesh, 25, berkata, semua ternakan keluar meragut rumput di kawasan tertentu dari pukul 10 pagi hingga 6.30 petang sebelum dibawa masuk ke kandang semula.

“Kami dapati semua lembu yang mati itu minum air bukit di parit tersebut tidak jauh dari kandangnya.

“Kebanyakan lembu yang mati itu termasuk ibu dan anak berusia setahun hingga lima tahun,” ujarnya.

Penternak, S. Sammugam, 57, pula berkata, ia merupakan kejadian pertama ternakan mati akibat minum air dari bukit yang mengandungi racun di ladang tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian.

“Kes berkenaan telah dirujuk kepada JPV bagi menunggu siasatan selanjutnya bagi menentukan punca kematian,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI