fbpx

Butak, budak nakal dalam dimensi Sabri Yunus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUTAK lakonan Izuan Fitri meruntun emosi.

BINTANG serba boleh, Sabri Yunus mempunyai dimensi tersendiri dalam setiap karya yang dihasilkannya sehingga mendapat perhatian ramai.

Terdahulu, karya beliau, Pok Ya Cong Codei yang disiarkan sekitar 2018 mendapat sambutan luar biasa dan tular dalam media sosial, bahkan hangat diperkatakan penonton dalam dan luar negara.

Bukan itu sahaja, karya lain seperti Sanggul Beracun, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Kita Bukan Anjing dan Che Pa turut membuktikan Sabri Yunus sebagai seorang pengarah yang sentiasa memperjuangkan karya berkisarkan adat dan kebudayaan serta sarat dengan mesej kerakyatan.

FILEM Butak masih boleh ditonton menerusi Astro First.

Kini, Sabri kembali dengan buah tangan terbaharu Butak siaran Astro First.

Filem yang disiarkan sejak 8 Oktober tersebut mempertaruhkan pelakon remaja yang juga pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2015 dan Pelakon Kanak-kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2016, Izuan Fitri sebagai tonggak utama.

Menerusi Butak, Izuan ditonjolkan dengan penampilan berbeza berbanding persembahannya dalam filem One Two Jaga (Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-30) dan filem Munafik.

Bukan itu sahaja, Butak menggabungkan pelakon-pelakon hebat senior dan baharu antaranya Bohari Ibrahim, Kaza Saisi, Imuda, Khatijah Tan, Laila Nasir, Fimie Don, Melly Amalin, Saidi Sabri, Azman Hassan, Fazli Daniel Ali, Adrenna Rose, Omar Hj Abdullah dan Ahmad Nizam Bahari, selain Sabri membuat penampilan sebagai Pak Man.

SABRI YUNUS (kanan) bersama pelakon remaja, Izuan Fitri yang melakonkan watak Butak.

Naik haji

TIGA pelakon muda berbakat besar, Izuan, Melly Amalin dan Fimie Don yang menghidupkan dilema hidup kanak-kanak nakal dalam filem Butak.

Sebagai pelakon yang membawa peranan utama, Izuan amat berterima kasih kepada pihak produksi yang telah memberikan kepercayaan penuh bjuat dirinya.

“Terima kasih Sabri, mempercayai bakat saya boleh membawakan watak Butak, meskipun saya bukanlah pelakon yang mempunyai paras rupa menarik.

“Saya harap filem Butak dapat menarik penonton kerana ia adalah filem berbeza,” katanya.

Filem terbitan Two Tunes Sdn. Bhd. tersebut mengisahkan Butak, seorang remaja nakal tetapi cerdik. Penduduk kampung sering mengadu setiap onar Butak sehinggalah satu peristiwa yang meruntun hati. Butak merajuk dan menyalahkan diri lalu nekad lari dari rumah.

Kisah yang sering Butak dengar tentang ibadat haji membawanya ke Pelabuhan Pulau Pinang. Dia mahu menaiki kapal laut untuk merasai pengalaman naik haji, sujud di depan Kaabah memohon maaf atas kesilapannya yang lalu dan berubah menjadi seorang yang lebih baik.

Sebagai penerbit, Amru Najmi Osman berkata, Butak merupakan sebuah karya Sabri yang nyata berlainan berbanding berbanding filem-filem sedia ada.

“Sabri yang kita kenali, sering memberikan nafas baharu kepada genre filem di Malaysia dan sering mendapat perhatian peminatnya.

“Filem ini antara sentuhan Sabri yang tidak kurang menarik. Biarpun Butak seorang budak yang sering dibenci oleh orang kampung kerana kenakalannya.

“Hakikatnya, dia seorang remaja yang berjiwa murni dan jauh di sudut hatinya, insaf ingin bertaubat kepada Yang Esa,” kata Amru.

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad pula menjelaskan, istimewanya menerusi Butak, kami mahu membawakan sesuatu yang berbeza daripada dengan tampilkan filem genre fiksyen namun sarat emosi.

“Sabri yang sememangnya sering dikenali dengan karya-karya sastera dan sarat elemen yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.

“Kami harap, kreativiti yang dipersembahkan menerusi Butak mampu menghiburkan dan menyampaikan mesej tersurat dan tersirat sebagai pengajaran buat masyarakat,” jelas Raja Jastina.

BUTAK mengisahkan perjalanan seorang remaja nakal yang tinggal bersama datuknya. Dia mahu ke Mekah untuk berubah menjadi anak yang baik.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI