fbpx
Hariz Zulfa mendermakan sebelah buah pinggang untuk ibunya, Dr. Zuliah yang menderita akibat kegagalan buah pinggang.

Kini giliran saya beri ‘nyawa’ pada ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar menghayati ibadah korban, malah menjadi simbol pengorbanan insan yang setia menjaga keluarga ketika diuji dengan kesakitan, penderitaan dan keuzuran.

Ada anak yang sanggup menggadai nyawa demi ibunya dengan mendermakan organ, manakala ada juga yang setia menjaga ibu bapa hingga ke akhir hayat, selain kakak rela berkorban menjaga adik yang sedang sakit.

Bagi seorang anak, Hariz Zulfa Mustafa, 25, dia nekad mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada ibunya, Datin Seri Dr. Zuliah, selepas 15 tahun insan tersayangnya itu menderita akibat kegagalan buah pinggang.

“Ibu sudah memberikan saya nyawa, jadi apa salahnya jika saya berkorban dan memberikan ‘nyawa’ semula kepada ibu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Hariz yang juga lulusan sarjana dari University of Melbourne berkata, keputusan besar itu diambil selepas melihat keadaan kesihatan ibunya semakin merosot baru-baru ini akibat bergantung sepenuhnya kepada rawatan dialisis sejak 2011.

Katanya, walaupun dalam kesakitan, ibunya masih kuat bekerja sebagai pensyarah kanan di sebuah universiti awam dan membesarkan mereka tiga beradik.

“Saya sudah tidak sanggup melihat ibu terus bergantung pada dialisis dan mahu dia menikmati semula kehidupan sebenar,” katanya yang bekerja dalam bidang pemasaran.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia dan ibunya selamat menjalani pembedahan transplan itu pada 11 April lalu di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.

Katanya, sebelum pembedahan, dia perlu melalui pelbagai ujian kesihatan dan mental selama berbulan-bulan bagi memastikan tahap keserasian serta kesediaan dirinya sebagai penderma muda.

“Paling mencabar adalah semasa menunggu keputusan ujian kerana takut jika buah pinggang tidak serasi.

“Masa hari kejadian pula saya rasa sangat tenang dan perkara pertama saya tanya selepas sedar adalah keadaan ibu,” katanya.

Selepas tiga minggu pembedahan, Hariz kini dalam fasa pemulihan di rumah dan perlu mengehadkan sementara aktiviti sukan lasak yang diminatinya seperti bola sepak dan pickleball.

“Bagi saya, ini bukan sekadar pendermaan organ semata-mata, tetapi cara saya menghargai setiap saat yang ada bersama ibu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN