MIAMI – Pengurus England, Thomas Tuchel mengakui resah dengan kualiti pengadilan di Piala Dunia 2026 yang tidak konsisten dan boleh mengubah nasib mana-mana pasukan menjelang aksi suku akhir menentang Norway, awal pagi esok.
Tuchel berkata, standard pengadilan sepanjang kejohanan itu masih belum mencapai tahap yang sepatutnya sehingga dikritik hebat selepas pengadil melakukan beberapa keputusan kontroversi sebelum ini.
“Ia tidak cukup baik kerana pengadil boleh menghukum mana-mana pasukan pada bila-bila masa. Mutu pengadilan pada kejohanan kali ini terlalu tidak konsisten dan sukar dijangka.
“Pada masa sama, pegawai keempat pula hanya sibuk menjerit kepada jurulatih jika kami keluar sedikit daripada zon teknikal. Keadaan ini memang tidak boleh dijangka,” katanya.
Bagaimanapun, pengendali dari Jerman itu percaya kemenangan dramatik England ke atas Mexico pada pusingan 16 terbaik telah menyuntik keyakinan tinggi kepada pasukannya untuk terus melangkah sehingga ke final.
“Ia meningkatkan lagi keyakinan kami bahawa kami berada di sini untuk kekal lebih lama. Pada pusingan 32 dan 16 terbaik, anda hanya perlu mencari apa sahaja cara untuk menang dan terus hidup dalam kejohanan.
“Apabila tiba di suku akhir, hanya tinggal lapan pasukan dan semuanya mempunyai peluang seimbang untuk muncul juara. Kami akan terus berpegang kepada prinsip selangkah demi selangkah, perlawanan demi perlawanan. Namun, perlawanan seperti ini hanya boleh dimenangi jika semua yakin dan beri komitmen penuh di atas padang,” katanya.
Sementara itu, tonggak Three Lions, Bukayo Saka mengakui semangat skuad The Three Lions semakin membara selepas kemenangan pada pusingan terdahulu dan percaya momentum tersebut perlu dibawa ke dalam aksi menentang Norway.
“Semangat kami berada pada tahap yang tinggi dan menjadi lebih baik selepas perlawanan itu. Semua pemain memberikan sumbangan, sama ada yang berada dalam kesebelasan utama atau yang masuk sebagai pemain gantian,” katanya.
Mengulas mengenai ancaman lawan, Saka yang bakal bertemu rakan sepasukannya di Arsenal, Martin Odegaard dan penyerang Manchester City, Erling Haaland mengakui pasukan lawan tidak bergantung dengan prestasi individu.
“Odegaard berada dalam prestasi yang baik, begitu juga rakan-rakan sepasukannya. Tugas kami adalah untuk mencari kelemahan lawan kerana mereka bermain dengan sangat baik sepanjang kejohanan ini,” katanya. – AGENSI















