fbpx
PENGAWAL keselamatan sekolah membuka pintu pagar tepat pukul 8 pagi pada PRN Johor ke-16 di SK Taman Rinting 1, Taman Rinting, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

[VIDEO] PRN Johor: 2.72 juta rakyat Johor tunai tanggungjawab pilih kerajaan baharu hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Hari yang dinantikan akhirnya tiba apabila lebih 2.7 juta pengundi biasa di Johor mula menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Proses pengundian melibatkan 2,703,173 pengundi biasa berlangsung di 1,190 pusat mengundi yang dibuka di seluruh negeri membabitkan 4,918 saluran mengundi, selepas pengundian awal selesai pada 7 Julai lalu.

PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 2,727,926 pengundi berdaftar layak mengundi bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mewakili rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Seramai 172 calon daripada lapan parti politik dan calon Bebas bertanding merebut 56 kerusi DUN, sekali gus menjadikan saingan kali ini antara yang paling sengit dalam sejarah pilihan raya negeri itu.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) bertanding di 33 kerusi.

Turut mencuba nasib ialah Parti Bersama Malaysia (Bersama) dengan 15 calon, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) empat calon, manakala Parti Orang Asli Malaysia (POA) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon. Enam calon Bebas turut bertanding.

Secara keseluruhannya, PRN Johor menyaksikan 14 pertandingan dua penjuru, 27 pertandingan tiga penjuru, 12 pertandingan empat penjuru dan tiga pertandingan lima penjuru.

Daripada keseluruhan calon yang bertanding, 138 adalah lelaki manakala 34 lagi wanita dengan lingkungan umur antara 26 hingga 73 tahun.

PRN Johor kali ini turut dilihat sebagai medan menguji kekuatan tiga gabungan utama iaitu BN, PH dan PN, selain menjadi petunjuk awal menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Pada 7 Julai lalu, seramai 19,471 pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing telah selesai menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun sebelum ini berkata, pihaknya menyasarkan 70 peratus kadar keluar mengundi pada PRN Johor kali ini, dengan seramai 42,020 petugas dilantik bagi mengendalikan keseluruhan proses pilihan raya.

Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, PN tiga kerusi dan Muda satu kerusi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN