KUALA LUMPUR – Sering dijadikan contoh kerana kelembutan mendidik anak-anak, pelakon Hanis Zalikha meminta orang ramai khususnya golongan ibu untuk tidak mengidolakan dirinya dalam hal itu.
Pemilik nama penuh Hanis Zalikha Zainal Rashid, 35, menyifatkan keupayaannya untuk memberikan perhatian penuh selari dengan keputusan mengehadkan jumlah anak demi memastikan kualiti asuhan yang terbaik.
“Sesiapa yang jadikan saya idola sebab cakap lembut dengan anak, saya ada dua orang saja. Kalian mungkin ada ramai anak, jadi tak boleh buat benda sama.
“Saya memang putuskan nak ada dua, alhamdulillah dapat sepasang. Saya boleh bagi perhatian penuh.
“Bila tanya ‘Hanis nak lagi tak?’, saya tak mampu, anak dua saja saya boleh berlembut dan betul fokus serta beri perhatian.
“Kalau lebih mungkin tak mampu. Jangan idolakan saya sebab ini saja kemampuan saya, Allah tutup aib saya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika pada majlis ulang tahun ke-10 jenama Cakenis, baru-baru ini.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Hairul Azreen itu mendedahkan mereka saling melengkapi antara satu sama lain demi memastikan anak-anak membesar dengan penuh disiplin.
“Hairul sangat tegas dan garang, anak-anak kalau dia cakap sekali terus dengar.
“Memang kombinasi yang bagus bila bapa garang mak kena lembut. Anak-anak macam mana pun kena disiplin.
“Saya jarang tegas dengan anak-anak tapi kalau saya garang bapa dia akan pujuk. Itu paling penting,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hanis memaklumkan perubahan usia anak-anak yang mempunyai keunikan personaliti tersendiri menyebabkan dia tidak lagi aktif berkongsi sebaran tip keibubapaan dalam media sosial.
“Dulu masa mereka kecil, memang saya suka berkongsi tip makan, tidur. Bila mereka dah besar, tiada dah.
“Bila budak-budak dah makin besar, kami mula belajar tentang personaliti mereka.
“Memang beza dengan anak-anak lain sebab itu saya tak kongsi tip sangat. Selalu ada yang minta tapi saya cakap baca saja yang lama,” ujarnya lagi.
Sekadar info, Hanis dan Hairul sah bergelar suami isteri pada 5 Jun 2015.
Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Yusuf Iskandar, 10 dan Alisa Aisyah, 6. – KOSMO! ONLINE














