TAPAH – Seorang lelaki maut manakala enam yang lain mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berhampiran Tasek Temoh arah Tapah awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.39 pagi.
Beliau berkata, kemalangan jalan raya itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga FLX dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Chevrolet.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat tujuh orang mangsa yang mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.
“Terdapat dua lelaki berbangsa Cina dalam Proton Saga tersebut dengan seorang daripadanya yang berusia 40 tahun parah, manakala seorang lagi, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, lima lagi mangsa berada dalam MPV Chevrolet tersebut iaitu dua lelaki dewasa berbangsa Melayu masing-masing berusia 66 dan 55 tahun yang parah.
Katanya, dua lagi perempuan dewasa berbangsa Melayu berusia 25 tahun dan 19 tahun turut mengalami kecederaan parah, manakala seorang wanita, 28, cedera ringan.
“Ketua operasi dimaklumkan kedua-dua kereta telah bertembung dari arah yang bertentangan dan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk ketika hendak tiba di lokasi kejadian.
“Ketua operasi seterusnya membuat size up dan mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota menggunakan rescue cutter untuk membuat regangan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan stretcher,” katanya.
Sabarodzi berkata, mangsa yang cedera ringan dan seorang mangsa yang parah telah dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum ketibaan pihak ambulans.
“Empat mangsa yang parah kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan KKM dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Manakala mangsa lelaki berbangsa Cina yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM yang hadir diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














