YUSOF Hashim, namanya mungkin agak asing dalam dunia perfileman tanah air tetapi realitinya dia sudah membintangi pelbagai jenis drama dan filem sejak sedekad lalu.
Perlahan-lahan menapak sebagai pelakon selepas meledak sebagai pencipta kandungan, Yusof kini berada dalam liganya sendiri.
Tidak bersaing dengan mana-mana pelakon lelaki lain, anak kelahiran Kuala Lumpur itu selesa dalam dunianya sendiri.
Katanya, lakonan seperti sudah sebati dalam dirinya, terutama selepas mula terjebak dalam pementasan teater sekitar tahun 2010.
“Saya memang suka berlakon dan itu juga dilakukan dalam video-video zaman kegemilangan dalam media sosial dulu. Macam-macam watak saya buat untuk menghiburkan khalayak.
“Minat terhadap lakonan membuatkan saya sanggup melakukan untuk setiap naskhah yang dipertanggungjawabkan.
“Tidak kisah kalau orang masih kurang kenal, sebab yang paling penting ialah jangan sesekali berhenti berusaha untuk menjual bakat sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Menelusuri pelayaran seninya, pelakon berusia 33 tahun itu mengakui tidak terlepas daripada melalui fasa tenggelam timbul sebelum ini.
Namun, semua itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan memahat kekal nama dalam persada seni tanah air.
“Kalau nak cakap tentang tawaran lakonan, memang ada pasang surut dan ‘struggle’ juga nak mencari makan.
“Namun keajaiban kuasa Tuhan dan mungkin juga rezeki filem Kahar: Kapla High Council, banyak peluang lain muncul.
“Sejak tiga tahun lalu, memang banyak tawaran lakonan yang hadir. Sekarang saya lalui fasa projek ‘back to back’ dan sasaran hanya mahu memberikan yang terbaik sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia mengakui memulakan kerjaya sebagai pencipta kandungan memberinya kelebihan dalam menghayati setiap watak dijayakan.

“Kadang-kadang saya rasa bertuah sangat sebab lahir dari media sosial sebelum berlakon. Orang sudah kenal dan sayang saya lebih awal.
“Kalau pelakon lain, mereka kena berlakon watak tertentu untuk jaga reputasi sebagai figura awam tetapi khalayak sudah tiada pemikiran negatif terhadap saya sebab sudah nampak aib zaman dahulu sebagai pencipta kandungan.
“Mungkin itu tuah yang perlu saya syukuri dan sebab itu juga kurang cerita kurang enak dalam dilaporkan,” ujarnya.
Kata Hati
Melangkah satu lagi anak tangga, dia bakal muncul dengan sebuah filem terbaharu berjudul Kata Hati gandingan bersama Nia Atasha dan Fazziq Muqris.
Menariknya, dia memegang watak hero dalam naskhah bergenre romantik komedi arahan Nadia Hamzah tersebut.
“Kalau perhatikan, kita sudah lama tiada filem romantik komedi dan mungkin filem ini boleh menjadi pengubat rindu peminat genre tersebut.
“Lagi buat saya teruja, ini kali pertama saya pegang watak hero untuk sebuah filem, satu benda baharu buat saya.
“Persiapan memang menuntut banyak tenaga, masa dan Nadia pula sutradara yang sangat teliti. Cabaran besar tetapi satu pengalaman hebat,” tuturnya.
Berkongsi pengalaman, bekerja dengan Nia yang juga salah seorang sahabat baiknya dalam industri seni satu perjalanan yang menarik.
“Mulanya segan juga nak berlakon dengan Nia, babak romantik dan sebagainya tetapi dia pelakon yang bijak.
“Dia tahu bagaimana nak tenangkan rakan gandingan dan buat kami berdua selesa, harap penonton dapat rasa keserasian tersebut,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia memberitahu ramai mula melahirkan rasa teruja apabila bakal dihidangkan dengan Kata Hati yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun nanti.
“Filem romantik komedi yang benar-benar membekas dalam hati saya adalah Istanbul Aku Datang, impak karya itu memang gila.
“Disebabkan filem itu, saya mula nampak romantik komedi mempunyai kelompok peminat sendiri. Bila saya promosi Kata Hati, ramai beritahu rindu nak tengok naskhah sebegini.
“Semua respons positif itu membuatkan saya dan pelakon lain lebih teruja dan semangat!” tuturnya yang juga pemegang watak Gusti Adipati dalam pementasan teater legenda Puteri Gunung Ledang The Musical tahun ini.














