SAAT segala-galanya seolah-olah beralih ke arah teknologi kecerdasan buatan atau AI, penyanyi Yuna tetap yakin bahawa seni yang dihasilkan dengan menggunakan teknologi sedemikian tidak mampu memberi emosi dan rasa seperti dilakukan oleh manusia.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 40, berkata, sentuhan kemanusiaan dalam muzik sangat penting kerana mampu menjadikan sesebuah lagu lebih dekat dengan jiwa pendengar.
“Bagi saya, air tangan manusia itu sangat penting. Elemen kemanusiaan dalam sesebuah lagu juga sangat penting dan membawa karya tersebut ke nilai yang tinggi.
“Mungkin pandangan atau kehendak artis lain berbeza dan saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka.
“Kalau AI digunakan sekadar untuk mencetuskan idea awal atau sebagai permulaan dalam proses berkarya, saya masih boleh terima tetapi jika mahu hasilkan sebuah lagu terus, jawapan saya tidak,” katanya ketika ditemui pada sidang media lagu Ajar Aku nyanyian Aizat Amdan dan kumpulan SOG, baru-baru ini.
Yuna juga tidak menggalakkan penyanyi, komposer atau penulis lirik untuk bergantung terhadap AI dalam menghasilkan sesebuah lagu.
“Saya tidak menggalakkan orang bergantung kepada AI untuk menghasilkan karya. AI sepatutnya menjadi alat untuk membantu memperbaiki seni, bukannya melakukan kerja manusia secara keseluruhan.

“Buat masa sekarang saya memang tidak bersetuju jika ada mana-mana pihak guna AI untuk buat sebuah lagu terus.
“Hakikatnya kita ada ramai artis, penulis lagu dan pengkarya yang berbakat serta mencari rezeki melalui bidang ini,” jelasnya.
Dia juga sempat berkongsi pengalaman ketika bereksperimen dengan AI bersama beberapa penerbit muzik di Amerika Syarikat (AS) ketika teknologi tersebut mula diperkenalkan di seluruh dunia.
“Ketika itu, kami sebagai penulis lagu cuba memasukkan arahan dalam AI untuk hasilkan lagu.
“Bila lagu sudah siap, saya rasa penggunaan bahasa yang mereka guna terlalu ‘terdesak’ untuk kedengaran seperti sebuah lagu.
“Memang proses itu laju berbanding dengan manusia buat lagu yang banyak mengolah perkataan, tukar susunan muzik dan mencari melodi.
“Bagi saya, sentuhan manusia tetap ada magis sendiri, yang lahir daripada pengalaman hidup dan anugerah daripada Tuhan,” ujar penyanyi lagu Crush itu.
Mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia pada tahun 2024, dia berkata kehidupannya kini lebih selesa di tanah air sendiri selepas lebih sedekad bertapak di Los Angeles, AS.
“Sejujurnya, saya sendiri belum tahu tentang aturan selepas ini tetapi kalau ditanya sekarang, memang tiada perancangan untuk kembali ke sana.
Malaysia-AS
“Jadual seni di sini juga agak sibuk dengan proses rakaman dan undangan persembahan.
“Saya bersyukur dapat berada di Malaysia semula, dekat dengan keluarga, menjaga ibu dan kucing saya,” jelasnya.
Popular dengan lagu Dan Sebenarnya, Yuna juga gembira dapat kembali berkarya di negara sendiri.
“Pulang ke Malaysia dan terus berkarya di sini seperti satu impian yang menjadi realiti. Insya-Allah akan ada satu lagi projek baharu yang juga agak besar akan dilancarkan, moga dimudahkan,” katanya.
SOG, Aizat
Berkongsi mengenai kolaborasi terbaharunya untuk single Aizat Amdan bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG) berjudul Ajar Aku, dia berkata kerjasama tersebut berlaku tanpa dirancang.
Lebih menarik, Ajar Aku menjadi antara lagu Melayu yang berjaya menambat hatinya ketika pertama kali didengar di studio rakaman.
“Saya tak ada rancangan pun nak terlibat dalam lagu ini, semuanya berlaku dengan izin Tuhan, saya pula jenis jarang nak layan lagu-lagu Melayu dan sangat memilih tetapi selepas dengar demo, terus rasa tertarik.
“Kemudian saya dapat tahu tiada penyanyi wanita dan mereka guna suara AI, saya terus okey untuk bekerjasama untuk karya yang bagus ini.
“Saya sudah banyak kali bekerja dengan Aizat tetapi bersama SOG, memang pertama kali. Gabungan mereka saya boleh katakan hebat sebab muzikaliti mereka selari,” kongsinya.














