KUALA LUMPUR – Pelakon Amir Ahnaf mendedahkan terpaksa melepaskan peluang jemputan menjalani sesi uji bakat bagi watak hero legenda, Hang Tuah teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) tahun ini.
Menafikan tidak menghargai jemputan yang diberikan, Amir, 26, berkata, keputusan tersebut diambil kerana kekangan jadual kerja selain merasakan dirinya masih belum benar-benar bersedia untuk menggalas watak tersebut.
“Saya dapat jemputan daripada Penerbit Eksekutif dan Pengarah PGLM, Puan Seri Tiara Jacquelina tetapi jadual kerja memang sibuk ketika itu dan tidak dapat hadir.
“Saya maklumkan pada Tiara, insya-Allah kalau ada rezeki saya akan buat lain kali.
“Sebenarnya saya sendiri pun tidak rasa watak Hang Tuah itu sebenarnya untuk saya yang baru berusia 26 tahun sebab banyak lagi benda perlu belajar,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Furious: Pertaruhan Maruah di sini, semalam.
Dia bagaimanapun tidak berasa ralat apabila menolak watak tersebut kerana yakin setiap peluang akan hadir pada waktu yang tepat.
Amir juga memberitahu enggan terburu-buru dalam menerima sesebuah watak termasuk tidak mengejar karakter hanya untuk meraih populariti.
“Tidak ralat kerana saya rasa belum tiba masanya lagi.
“Namun secara peribadi, saya rasa Aqasha adalah pelakon yang bagus sebenarnya.
“Bagi saya, peluang dan kepercayaan sebegini akan sentiasa ada kalau kita jenis mementingkan kualiti,” ujarnya.
Sedar nama ‘dipetik’ ramai dalam media sosial untuk watak Hang Tuah, bintang filem Kahar: Kapla High Council itu menyifatkan sokongan tersebut sebagai penghargaan besar buatnya yang masih baru dalam industri seni tanah air.
“Saya ambil sokongan daripada penonton itu sebagai simbol kejayaan, alhamdulillah, maksudnya muka Melayu saya akhirnya diiktiraf. Insya-Allah nanti umur saya 30 atau 35 tahun mungkin ada peluang itu lagi.
“Buat masa sekarang, saya cuba sedaya upaya untuk menjaga kualiti dalam setiap kerja dan naskhah yang diterima.
“Kalau hati sendiri rasa Hang Tuah itu belum milik saya, maknanya belum tiba masanya lagi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mengakui Hang Tuah merupakan salah satu karakter impiannya sejak kecil selain sangat meminati karya berunsur sejarah dan budaya Melayu.
“Saya lahir dari bidang teater dan di situlah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan seni lakonan.
“Sejujurnya, saya memang sangat meminati teater PGL sebab membesar dengan naskhah sebegitu yang lebih ke arah Melayu, ‘folklore’ dan sejarah kita,” kongsinya.
Terdahulu, nama Amir menjadi bualan hangat netizen sebagai antara calon paling sesuai untuk menggalas watak Hang Tuah dalam pementasan PGLM yang dijangka berlangsung pada Oktober depan.
Dia bagaimanapun dalam satu hantaran media sosial memberitahu karakter yang bakal digalas oleh Aqasha itu terlalu besar buat dirinya. – KOSMO! ONLINE














